Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Wajarkah Dasar Had Umur Minima Perkahwinan Ditukar?

893
SHARE

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengambil serius isu yang dibangkitkan oleh Wanita Pakatan Harapan mengenai had umur minimum perkahwinan perempuan Islam yang telah diguna pakai selama ini.

Wanita Pakatan Harapan menggesa kerajaan untuk meningkatkan had umur minimum perkahwinan daripada 16 tahun kepada 18 tahun bagi perempuan Islam di negara ini selaras dengan had umur minimum lelaki Islam.

Kerajaan dipersoalkan oleh Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin mengenai dasar sedia adayang membenarkan kebenaran kepada remaja perempuan seawal 16 tahun untuk berkahwin. Dalam pada itu, beliau juga menambah supaya had minimum umur seawal 18 tahun adalah umur yang sesuai dalam menjamin kehidupan berkeluarga yang lebih baik.

Dalam tempoh 5 tahun antara 2010 dan 2015 telah berlaku hampir 9,000 perkahwinan bawah umur yang melibatkan 6,268 penganut Islam dan 2,775 adalah bukan Islam.

Di bawah Enakmen Keluarga Islam yang dikuatkuasakan oleh kerajaan, usia minimum bagi lelaki Islam adalah 18 tahun manakala bagi perempuan Islam adalah 16 tahun. Bagi perkahwinan bawah daripada had umur yang ditetapkan perlu mendapatkan kebenaran mahkamah dan persetujuan ibu bapa.

Manakala bagi bukan Islam, Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) menetapkan 18 tahun usia minimum perkahwinan, dan mereka yang berusia 16-18 tahun perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada ketua menteri dan mahkamah.

Menurut Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching yang mendakwa kahwin muda lebih cenderung kepada risiko penderaan domestik dan seksual di samping memberi impak negatif kepada taraf pendidikan dan ekonomi pasangan muda.

DMPM menyarankan agar pihak berwajib mengkaji dengan lebih mendalam dari pelbagai sudut termasuklah kebaikan dan keburukan dalam cadangan meminda had umur minimum untuk perkahwinan perempuan Islam kerana ia bukanlah isu yang boleh dipandang ringan oleh kerajaan.

Kematangan umur seseorang bukanlah ditentukan melalui umur yang tertentu tetapi bergantung kepada individu tersebut. Tiada spesifikasi yang jelas dalam menentukan kematangan diri seseorang mengikut Islam. Maka, tidak adil untuk menilai dan pukul rata secara keseluruhan bahawa semua remaja perempuan yang berumur 16 tahun itu tidak matang dan tidak bersedia dalam urusan keluarga.

Mengenai hal ini, had umur tidak boleh menjadi punca utama dalam kerosakan institusi keluarga memandangkan penghayatan tentang tanggungjawab sebagai suami isteri kurang dihayati oleh pasangan yang sudah berkahwin.

“Muslimat Memacu Kemenangan”

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua,
Dewan Muslimat PAS Malaysia
29 Syawal 1438 H
23 Julai 2017

 

{jathumbnail off}