Home Berita PAS Wilayah

Penting hayati muktamar, persiapan hadapi PRU 15

33
SHARE

Penting hayati muktamar, persiapan hadapi PRU 15

Oleh NURUL NADIYAH

TITIWANGSA, 7 Nov: “Setiap ahli PAS perlu menghayati muktamar kali ini, lebih-lebih lagi ucapan dasar Presiden PAS semalam kerana terdapat beberapa arahan terkini beliau kepada petugas untuk menghadapi PRU 15.”

Demikian yang ditekankan oleh Yang DiPertua PAS Kawasan Titiwangsa, Ustaz Mohd Suhaimi Abdul Aziz ketika ditanya berkenaan Muktamar Tahunan PAS ke-67 yang berakhir siang tadi.

“PAS Titiwangsa khususnya mesti menjadi teladan kepada penyatuan ummah terutama kepada masyarakat berbilang kaum di Titiwangsa,” ulas beliau tentang ucapan dasar Presiden berkenan penyatuan umat Islam bermasyarakat majmuk.

Selain itu, YDP juga menegaskan bahawa PAS Titiwangsa mesti bersikap terbuka dan berjiwa besar dalam menerima konsep kepelbagaian kaum, bersikap toleransi, bekerjasama dan hormat menghormati antara satu sama lain.

“Di kawasan Titiwangsa ini, kita bertemu dengan pemimpin bahagian UMNO dan Bersatu. Pelbagai aktiviti boleh dianjurkan secara bersama, menghadiri jemputan program mereka dan menggalakkan ahli turut hadir program-program bersama.

“Hal ini penting bagi memastikan PAS berperanan sebagai pendamai dalam Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) khusus di Titiwangsa ini,” ujarnya.

Beliau juga bersetuju dengan ucapan dasar berkenaan yang antaranya menekankan tentang integriti dan konsep berkebajikan untuk negara dan rakyat.

“PAS Titiwangsa sendiri menggariskan panduan berikut sebagai keutamaan iaitu wakil Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) perlu bersikap terbuka, telus, tuntas serta aktif dalam menjayakan integriti.

“Wakil MPP juga perlu membezakan antara program parti dengan program kerajaan serta tidak menggunakan kepentingan diri melalui agensi kerajaan,” tegasnya.

Beliau berpesan kepada semua ahli kawasan Titiwangsa dan Wilayah Persekutuan amnya agar mempersiapkan diri menghadapi cabaran semasa, sediakan jentera sebaiknya untuk pilihan raya dan memperkuatkan organisasi di semua peringkat.

“Kita juga mesti berusaha menambah keahlian, memperkasa cawangan, mengukuhkan hubungan PN dan MN, mengikut arahan pimpinan serta bersedia dengan pelbagai kemungkinan atau strategi baharu,” tambahnya.