Home PAS Pusat

Wabak Polio : Bukan Tanggungjawab KKM Sahaja

641
SHARE

Tahun 2020 membuka tirainya dengan penemuan 2 lagi kes polio di Sabah. Kembalinya Polio setelah 27 tahun Malaysia di isytiharkan bebas darinya merupakan petanda bahawa walau kita gigih mengejar wawasan dan kemajuan, perihal pencegahan penyakit tidak boleh dipandang remeh. Pembangunan yang lestari meletakkan agenda kesihatan sebagai keutamaan. Namun, untuk menggapai matlamat mewujudkan sebuah negara yang sihat dan bebas daripada penyakit pastinya memerlukan kerjasama dari semua pihak.

Lajnah Kesihatan PAS merakamkan ucapan takziah kepada pesakit dan keluarganya serta masih menunggu tindakan drastik daripada kerajaan bagi memastikan wabak polio tidak berleluasa. Menyambut baik langkah Kementerian Kesihatan Malaysia untuk bekerjasama dengan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Kesihatan SeDunia (UNICEF) dan kerajaan Filipina bagi meluaskan liputan program imunisasi dan aktiviti survelan, perlu ditegaskan bahawa kerajaan Malaysia mesti mengambil pendekatan yang proaktif dan mendasari kepada isu sebenar di lapangan.

Pokoknya di sini adalah, sejak sekian lama Sabah dan Sarawak mempunyai populasi bukan warganegara (stateless citizen) yang kronik. Dengan sempadan yang besar berhampiran negara jiran Filipina dan Indonesia, pergerakan keluar masuk dan gaya hidup nomad menyukarkan usaha pencegahan dan kawalan penyakit. Berdasarkan unjuran penduduk oleh Jabatan Statistik Malaysia, Sabah mempunyai 3.9 juta penduduk di mana 1.1 juta adalah bukan warganegara termasuklah 71 ribu kanak-kanak di bawah usia 5 tahun. Ini merupakan jumlah yang besar dengan impak yang serius kepada kesemua aspek kehidupan.

Taraf sosioekonomi merupakan penentu-ukur yang penting kepada tahap kesihatan. Kakitangan KKM sememangnya bersedia berkhidmat sepanjang masa, tetapi masih terikat dengan Akta Fi Perubatan yang semakin rigid terutamanya mendepani iklim ekonomi yang pincang. Untuk pendaftaran di klinik sahaja sudah menelan belanja RM 40 manakala untuk suntikan imunisasi pula memerlukan RM 40 sekali cucuk. Kesemua kos ini adalah di luar jangkauan dan kemampuan bagi warga asing yang datang ke bumi bertuah ini demi sesuap nasi.

Lebih malang lagi apabila wujud unsur penentangan terhadap vaksin. Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah menggariskan antara ancaman terhadap kesihatan global adalah keraguan dan penentangan terhadap vaksin. Sedangkan vaksin dianggarkan mencegah 2 hingga 3 juta kematian setiap tahun dan 1.5 juta lagi kematian dapat dielakkan seandainya liputan vaksin dapat ditingkatkan. Propaganda anti-vaksin merupakan antara penyebab wabak polio di Pakistan adalah paling tinggi di dunia.

Juga, perlu ditekankan perihal infrastruktur yang baik terutamanya bekalan air bersih dan sistem kumbahan yang efektif bagi mencegah merebaknya virus polio. Perumahan setinggan tanpa pengurusan bekalan air serta kumbahan yang optimum menjadi sarang untuk kuman polio merebak. Tuntasnya, wabak polio adalah simptom kepada kegagalan perancangan dan pengurusan imigran dan stateless citizen di Malaysia. Ia bukanlah isu kesihatan semata-mata, malah perlu dilihat dari pelbagai aspek seperti hak asasi manusia, perundangan dan kewarganegaraan serta pembangunan yang lestari.

DR MOHD MAZRI BIN YAHYA
Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat
14 Januari 2020