Home Kenyataan Media PAS Johor

Takziah buat keluarga Adik Dinie

469
SHARE

KENYATAAN MEDIA

DEWAN MUSLIMAT PAS NEGERI JOHOR

 

SALAM TAKZIAH BUAT KELUARGA ADIK DINIE

 

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

 

Dewan Muslimat PAS Negeri Johor (DMPNJ) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Nur Dinie Damia binti Muhamad Noor Ain di atas pemergian adik Dinie di Hospital Sultanah Aminah (HSA), malam tadi. Sebelum ini, Adik Dinie dimasukkan ke HSA empat hari lepas kerana disyaki jangkitan virus influenza. Bagaimanapun, disahkan negatif penyakit tersebut petang semalam.

Walaubagaimanapun, jangkitan Influenza yang sedang melanda negara wajar dipandang serius berikutan kenyataan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) yang menyebut Johor mencatat jumlah murid yang paling ramai dijangkiti virus ini. Influenza lazimnya dipanggil selesema merupakan jangkitan virus yang mudah berjangkit melalui titisan dari salur pernafasan yang dilepaskan oleh pesakit melalui batuk atau bersin.

DMPNJ menggesa agar langkah berjaga-jaga khususnya di kawasan persekolahan dan perumahan dipertingkatkan bagi mengawal influenza daripada terus merebak. Seluruh masyarakat dinasihatkan mengamalkan EMPAT langkah pencegahan sebagaimana digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu (1) Menjaga etika batuk, (2) Memakai penutup mulut dan hidung dengan topeng muka (mask), (3) Kerap mencuci tangan, dan (4) Mendapatkan vaksinasi dengan nasihat doktor.

Para penjaga dan ibu bapa juga disarankan agar segera membawa anak-anak ke hospital atau klinik kesihatan yang berhampiran bagi mendapatkan rawatan. Kekalkan gaya hidup sihat, selalu bersenam, pemakanan seimbang, minum air secukupnya dan banyakkan berdoa agar dihindari penyakit.

 

 

ISLAM MEMIMPIN WANITA SEJAHTERA

 

PUAN FATIMAH ISMAIL

Ketua Muslimat

Dewan Muslimat PAS Negeri Johor

14 Januari 2020