Home Rencana PAS Kelantan

Varian Delta: Bahaya baharu di Kelantan

153
SHARE

Oleh NORZANA RAZALY

Varian Delta asalnya digelar B.1.617.2 adalah varian membimbangkan (VOC), pertama kali dikesan di Maharashtra, barat India pada Oktober tahun lalu.

VOC berlaku disebabkan mutasi spike protein virus SARS-CoV 2 yang lebih mudah berjangkit dalam skala 15 saat sahaja melalui udara pada jarak satu meter dan mengakibatkan komplikasi lebih teruk.

Kini, varian tersebut mengganas dengan kadar penularan pantas sehingga menyebabkan peningkatan kes COVID-19 di 124 negara termasuk Malaysia.

Kes Pertama Varian Delta di Kelantan
Jangkitan COVID-19 berpunca daripada varian Delta dikesan pada 23 Julai lalu selepas menjangkiti seorang wanita di Pasir Puteh, Kelantan.

Menurut Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, YB Dr Izani Husin, sifat virus ini berubah dan mengambil masa untuk landai.

“Varian Delta mempunyai kadar kebolehjangkitan antara 5 ke 8 berbanding kes positif COVID-19 strain Wuhan yang awal dahulu, kadar kebolehjangkitan kira-kira 2 ke 3 atau 2.5 sahaja.

Sebelum ini wanita berkenaan sudah dijangkiti COVID-19 dan disifatkan sebagai jangkitan semula atau kes sporadik kerana varian ini sudah mengalami mutasi dan kesannya sangat bahaya kerana boleh menyebabkan risiko kematian yang tinggi jika terkena pada seseorang.

Berhati-hati dengan varian Delta kerana virus paling bahaya itu tidak hanya berpusat di satu jajahan, sebaliknya akan merebak ke kawasan lain dengan cepat, kita harap penduduk di Kelantan tidak ambil mudah”, saran Dr Izani.

Beliau juga menasihati orang ramai terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan kekal melakukan kuarantin kendiri dengan tidak keluar rumah tanpa tujuan yang munasabah
Penularan ke Jajahan Lain

Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) melaporkan Malaysia menjalankan 1,668 jujukan genom virus COVID-19 sehingga 22 Julai dan mengesan 409 jujukan jenis varian yang membimbangkan (VOC) membabitkan Delta, Beta dan Alpha.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Dato’ Dr Zaini Hussin, memaklumkan sebanyak 123 kluster aktif pada 1 Ogos lalu dan tidak menolak faktor varian Delta penyumbang kepada trend peningkatan jangkitan COVID-19 di Kelantan yang ketara kebelakangan ini.

Varian berkenaan mula dikesan di Pasir Puteh, namun beliau tidak menolak kemungkinan varian itu turut tersebar ke jajahan lain, termasuk Bachok dan Tanah Merah berdasarkan trend peningkatan kes di negeri ini begitu cepat dan meluas.

“Kelantan mencatat 16 kluster baharu. Setiap hari kita ada kluster disebabkan virus sudah berada dalam komuniti. Pada masa sama, mungkin juga disebabkan kita gagal mematuhi SOP”, katanya yang turut berduka cita mengetahui seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun menjadi punca tercetusnya Kluster Kampung Tok Junuh Mahligai di Bachok, yang sudah menjangkiti 13 individu lain pada awal Ogos lalu.

Langkah Pencegahan
Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob menegaskan langkah paling penting ketika ini yang perlu dipraktikkan semua pihak ialah mematuhi SOP dalam usaha mencegah penularan COVID-19 varian Delta di Kelantan.

Beliau berkata, untuk melandaikan keluk graf peningkatan wabak pada kadar segera, semua pihak mesti mematuhi arahan kesihatan awam dengan kombinasi displin yang tinggi dan mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 sebagai perlindungan terbaik.

“Varian Delta adalah virus yang dominan dan kita mesti sentiasa ambil langkah berjaga-jaga kerana virus ini merebak dengan pantas ke seluruh negara.

Duduk di rumah jika tiada sebarang urusan di luar, tolong hadkan pergerakan dan perjumpaan skala lebih besar. Patuhi semua SOP, sentiasa cuci tangan dan pakai pelitup muka serta elakkan diri dan keluarga daripada berada dalam ruang sempit yang mempunyai aliran udara teruk dan tempat yang sesak.

Sila dapatkan suntikan vaksin. Kita bergantung pada langkah pencegahan kesihatan awam dengan kepatuhan dan displin yang kuat serta perlindungan dalaman dengan vaksinasi namun tidak lupa untuk sentiasa bersolat hajat dan berdoa agar Allah SWT segera mengangkat ujian wabak ini,” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut mengingatkan peningkatan 870 kes baharu di Kelantan hari ini (8 Ogos) masih membimbangkan walaupun Kelantan sudah memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula awal bulan ini, susulan kadar vaksinasi di Kelantan telah mencapai nilai ambang 10 peratus daripada populasi.
Kesimpulan

Allah SWT menghantar wabak sebagai ujian ketakwaan supaya hamba-Nya belajar untuk cekal berikhtiar mencari penawar dan bersabar mengharungi segala cabaran.

Atas semangat federalisme, Kerajaan Persekutuan dan Negeri Kelantan terus komited menyediakan pelbagai fasiliti kesihatan, rangsangan ekonomi dan inisiatif kebajikan melalui semua agensi yang bertanggungjawab.

Oleh itu, rakyat dinasihatkan sentiasa mengamalkan 3W; Wash (kerap cuci tangan) Wear (pakai pelitup muka) dan Warn (patuh amaran peringatan) dan mengelakkan 3S; kawasan sempit, sesak dan sembang jarak dekat serta patuhi SOP sebagai normal baharu dan dapatkan imunisasi COVID-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan yang serius, bilangan kes kematian sekaligus membina imuniti kelompok menjelang Oktbober ini.