Home Kenyataan Media PAS Negeri Sembilan

VAPE DI MANA-MANA

869
SHARE

KUALA PILAH – Media Sosial tular melaporkan vape telah menjadi suatu masalah kepada murid sekolah sehingga murid sekolah rendah dengan beraninya menghisap vape di kawasan terbuka.
Apa yang menyedihkan lagi, isu ini bukan lagi isu terpencil kerana semua sekolah tidak kira sama ada sekolah rendah mahupun sekolah menengah telah dilanda oleh permasalahan murid membawa vape, murid menghisap vape, pelajar menjadi ejen menjual vape dan sebagainya.
SIAPA YANG PATUT DIPERSALAHKAN?
Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Negeri Sembilan melalui Ketua Muslimat Pn. Fazilah Abu Samah mengajak semua pihak memainkan peranan membanteras isu vape ini kerana kita tidak mahu permasalahan ini semakin parah.
Kita sedia maklum pihak sekolah sentiasa memberi nasihat dan teguran kepada murid tentang bahaya dadah, rokok dan vape. Malah mengenakan pelbagai dendaan kepada murid yang melakukannya. Kumpulan murid yang melakukan kesalahan ini wajar dan perlu diberi perhatian dengan memberi bimbingan yang berterusan oleh Kaunselor dan guru-guru agar bertaubat. Pelajar yang menghisap vape ini rata-ratanya datang dari keluarga yang bermasalah yang memerlukan perhatian.
Dalam sehari, anak-anak paling lama berada bersama keluarga. Ibu bapa hendaklah sentiasa memantau anak mereka dan sentiasa cakna di mana anak mereka berada dan ke mana duit yang diberi dibelanjakan. Selain itu, ibu bapa perlu memastikan anak-anak berada di rumah pada waktu malam sebagai langkah terbaik untuk mengelakkan anak-anak terjebak dengan vape mahupun rokok. Membimbing anak di rumah seperti mengaji atau membaca Al-Quran adalah aktiviti keluarga terbaik untuk diamalkan. Apabila anak-anak dibenarkan keluar malam , anak-anak akan belajar melepak, merokok dan menghisap vape dari rakan. Natijahnya, anak-anak ini akan balik lambat, tidak membuat tugasan sekolah, bangun lambat dan menjadi murid yang bermasalah di sekolah kelak kerana hilang tumpuan dan fokus dalam pembelajaran.
Bapa yang menghisap rokok atau vape juga menjadi ikutan anak-anak. Ini juga merupakan faktor yang menyebabkan anak-anak ini terjebak sekaligus menjadikan bapa mereka sebagai suri teladan. Sebaliknya, bapa sewajarnya melarang anak-anak menghisap vape dan rokok, ibarat ketam yang ingin mengajar anak berjalan lurus.
Hadith Riwayat Sahih Muslim yang bermaksdud :
Tidaklah seorang bayi yang dilahirkan melainkan dalam keadaan fitrah, maka kedua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Musyrik.
Majlis Fatwa telah mengeluarkan fatwa bahawa rokok elektonik atau vape adalah haram. Adakah ia selaras dengan tindakan kerajaan. Larangan merokok , di mana penguatkuasaan ?
Orang ramai sewenang-wenang merokok di kedai makanan tanpa ada rasa takut. Baru-baru ini industri vape pula mengatakan jika vape diletakkan di bawah akta rokok, kerajaan akan rugi ratusan juta ringgit hasil kutipan cukai.
MANA LEBIH PENTING KESIHATAN ATAU DUIT
Islam mengajar kita acara mendidik anak-anak . Jom kita renungkan bersama:
1. Sejauh manakah anak-anak mengenali ALLAH dan Rasul-NYA?
2. Seakrab manakah anak-anak dengan Al-Quran?
3. Adakah 1-2 jam dalam sehari diperuntukkan untuk membaca hadis atau sirah kepada anak-anak?
4. Adakah 2-3 jam dalam sehari diperuntukkan untuk membelai dan bermain dengan anak-anak yang masih kanak-kanak?
5. Berapa kerapkah dalam seminggu memeluk dan mencium ubun-ubun anak-anak yang masih kanak-kanak terutama sebelum mereka tidur?
6. Berapa kerapkah menyuap anak-anak makan dalam seminggu?
7. Adakah 1-2 jam dalam sehari diperuntukkan untuk berbual dengan anak-anak yang sedang meningkat umur(remaja)?
8. Berapa kerap dalam seminggu menunaikan solat 5 waktu berjemaah dengan anak-anak?
9. Berapa kerap mendengar anak-anak mendoakan ibubapa mereka dalam seminggu?
10. Pernahkah memandang wajah anak, sambil memegang tangan mereka dan berkata, “nanti pegang tangan ayah&mak, papa & mama, abi & umi, walid &umi, macam ni tau,bila masa nak masuk syurga nanti tau.”

Dalam menangani segala permasalahan berkaitan bahan terlarang yang boleh menjejaskan kesihatan dan masa depan anak-anak muda apatah lagi mereka yang masih di bangku sekolah, ketegasan pihak berkuasa sangat penting untuk membendung segala masalah tersebut.
Pihak berkuasa berkaitan perlu mengambil tindakan tegas untuk menghentikan penjualan vape kepada kanak-kanak. Ketiadaan undang-undang khusus menyebabkan aspek penguatkuasaan sukar dilakukan hingga penjualan vape dilihat berleluasa meskipun ia tidak dihalang dalam kalangan golongan dewasa. Cegah sebelum parah.
Sebelum nasi menjadi bubur, wajarlah pelbagai pihak yang terbabit memikirkan kaedah dan tindakan untuk mengurangkan kebejatan sosial kerana generasi muda inilah aset penting yang akan mencorakkan masa depan negara.

Lina Jali,
Ketua Lajnah Pendidikan DMPNNS