Home Berita PAS Kedah

Vaksin Covid-19 : Tak ikut jadual punca sesak

309
SHARE

Oleh : Mohd Hassan

KUPANG- Kehadiran tidak mengikut jadual dipercayai punca berlaku kesesakan menunggu giliran suntikan vaksin di Dewan Majlis Daerah Baling, Kupang hari ini.

Setiausaha Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Kupang, Mohd Sabri Abu Bakar berkata, isu berkenaan bagaimanapun segera diatasi dengan inisiatif PKWR DUN Kupang menyumbangkan sejumlah kerusi pada petang tadi.

“Kami menerima aduan berhubung orang ramai tiada tempat duduk ketika menunggu giliran suntikan di Dewan MDB Kupang.

“Apabila disiasat, kita menerima maklumat daripada pihak berautoriti kejadian itu berlaku apabila mereka yang dijadual menerima suntikan pada jam 11 pagi dan 12 tengah hari datang lebih awal,” katanya kepada media PAS Baling hari ini.

Mohd Sabri berkata, isu kecil berkenaan tidak seharusnya diperbesarkan mana-mana pihak.

“Sebaliknya marilah kita membantu petugas barisan hadapan yang ketika ini bertungkus lumus menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia.

“Jika ada masalah boleh segera adukan ikut saluran yang betul. Insya Allah akan diperbaiki segala kelemahan,” katanya.

Beliau berkata, komitmen orang ramai untuk datang menerima vaksin amatlah dihargai.

Terdahulu, tular video yang menunjukkan penerima vaksin terutama warga emas terpaksa berpanas dengan menunggu di luar dewan tanpa kerusi.

Malah, ada yang dilihat terpaksa menunggu di tepi longkang dewan.