Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Utamakan Kepentingan Rakyat

417
SHARE
1. Dewan Muslimat PAS Malaysia melahirkan rasa kesyukuran apabila Tan Sri Muhyidin Yassin memilih untuk mengekalkan Menteri dan Timbalan Menteri dari UMNO biarpun usul dalam Perhimpunan Agung UMNO mendesak mereka memilih untuk meninggalkan Perikatan Nasional.
 
2. Keperluan utama pada waktu ini ialah usaha untuk menstabilkan politik negara dalam menghadapi masalah ekonomi yang meruncing akibat pandemik Covid-19. Hanya dengan politik yang stabil dan mapan dapat meyakinkan pelabur luar.
 
3. Untuk menghadapi kemelut ini hingga berakhirnya tempoh darurat Ogos ini, kerajaan haruslah mengelakkan dari tekanan yang tidak perlu sebaliknya menumpukan usaha mengatasi masalah dalam negara. Seharusnya semua pihak berusaha untuk bersatu dalam semua jalur perpaduan ummah tanpa menghiraukan masalah peribadi. Jangan lupa, rakyat sentiasa menjadi hakim tertinggi dalam menentukan hala tuju negara.
 
4. Apa yang perlu diingatkan adalah jawatan Menteri, Timbalan Menteri dan jawatan lain merupakan amanah yang harus dipikul dengan integriti dan bertanggungjawab. Sebagai orang Islam kita perlulah sentiasa merenung ayat ini;
 
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).” [Surah Al-Anfal: 27]
 
5. Semoga semua pihak berhenti berpolemik dan merasakan jawatan yang dijawat sekarang adalah amanah Allah yang harus dipikul dengan penuh tanggungjawab dan berintegriti.
 
#MalaysiaSejahtera
#IslamMemperkukuhPerpaduan
 
YB SENATOR USTAZAH NURIDAH BINTI MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
1 April 2021 | 18 Syaaban 1440H