Home Artikel Dewan Muslimat PAS Malaysia

Ustazah Nuridah dinobat sebagai Tokoh Pimpinan Mithali

659 views
SHARE

Ustazah Nuridah dinobatkan sebagai Tokoh Pimpinan Mithali

KEDAH : Lajnah Pembangunan Wanita dan Keluarga Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) dengan kerjasama Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah telah meraikan wanita terutama Muslimat PAS sempena Hari Wanita Sedunia yang disambut pada 8 Mac setiap tahun dalam program Hi-Tea Bersama Datuk Dr. Norhafizah Musa, 13 April lalu.

Majlis yang penuh berprestij itu telah dirasmikan oleh YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh, Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia yang juga merupakan Ahli Dewan Negara.

Demi menghargai segala pengorbanan dan komitmen Muslimat PAS yang tidak terhingga, pihak penganjur telah menyampaikan beberapa anugerah sebagai tanda penghargaan dan dorongan kepada wanita lain untuk dicontohi dan diikuti.

YB Senator Ustazah Nuridah telah dinobat sebagai Tokoh Pimpinan Mithali atas segala komitmen dan penglibatan khususnya dalam Dewan Muslimat PAS seawal tamat pengajian di Universiti Malaya.

Walaupun menjadi pimpinan tertinggi Dewan Muslimat PAS dan memegang jawatan dalam PAS Pusat, ianya sesekali tidak menghalang beliau untuk melaksanakan tanggungjawab sebaiknya sebagai seorang ibu dan ahli kepada masyarakat.

Ibu 10 orang anak ini telah melahirkan 8 orang hafiz dan hafizah (seorang anak OKU dan seorang meninggal semasa 12 tahun). Beliau juga terlibat secara aktif sebagai pendakwah bebas di masjid-masjid dan beberapa agensi sekitar Lembah Klang, di samping sering mengikuti misi-misi dakwah dan kebajikan sama ada dalam mahupun luar negara.

Selain itu, Pengarah Briged Muslimat Malaysia, Nuri Muhammad turut menerima Anugerah ‘Ikon Sukarelawan’ atas keprihatinan dan khidmat bakti beliau dalam misi-misi kebajikan dan bencana seluruh Malaysia.

     

Empat lagi penerima anugerah ialah Dr. Norazlina Zakaria, ‘Profesional Wanita’, Azlina Azinan, ‘Usahawan Wanita’, Mardhiyyah Johari, ‘Ikon Anak Muda’ dan Yusnita Yusof, ‘Anak Muda Masa Hadapan’.