Home Berita PAS Melaka

Ustaz Tok Rahmat dikenali masyarakat, calon terbaik DUN Serom

368
SHARE

Oleh IBNU JANIE
Foto HANIFF ABD RAHIM

LEDANG, 3 Mac: Mantan Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek menyifatkan calon Perikatan Nasional bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, N-11 Dewan Undangan Negeri (DUN) Serom, Ustaz Rahmat Daud sebagai calon terbaik bagi DUN ini.

Menurut beliau, walau pun tidak begitu mengenali secara peribadi Ustaz Rahmat yang lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Tok Rahmat ini, namun hasil daripada tinjauan dan penelitian beliau mendapati bahawa calon Perikatan Nasional ini sangat disenangi oleh penduduk di sini.

“Saya dah kaji dan saya dah tanya pimpinan masyarakat di sini, watak dan karektor Ustaz Rahmat Daud ini orang yang disenangi oleh masyarakat. Dan semua orang mengakui (perkara ini).

“Tak kira parti apa biasa dengan dia. Memang ini ciri-ciri orang nak jadi pemimpin tuan-tuan. Dia duduk dengan orang kampung. Bila nak jumpa, senang,” ujar beliau.

Ustaz Kamarudin yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin berkata demikian ketika menyampaikan ceramah umum sempena PRN Johor yang berlangsung di Kampung Tanjung Gading, di sini, malam tadi, yang turut disiarkan secara langsung di laman Facebook rasmi Ustaz Rahmat.

Ustaz Kamarudin juga berharap agar rakyat Johor dapat memberi peluang kepada Perikatan Nasional untuk membentuk kerajaan selepas PRN ini.

“Rakyat Johor kena bagi peluang untuk kita buktikan bahawa ada parti yang lebih baik untuk menguruskan kerajaan dan khazanah negeri Johor ini,” ujar beliau lagi.

Turut menyampaikan ceramah ialah pendakwah selebriti, Ustaz Raihan Abdul Aziz, Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan, Fauzee Abu Bakar dan Penyeleras Bilik Gerakan Bersatu DUN Serom, Sulaiman Abu,

Ustaz Rahmat berdepan persaingan tiga penjuru dengan ‘Asim ‘Abdullah Ainullotfi (PH-PAN), Abdul Azim Abdul Malek (Pejuang) dan Khairin-Nisa Ismail (BN) dengan hari membuang undi ditetapkan pada 12 Mac sementara pengundian awal pada 8 Mac.

Kerusi N11-DUN Serom sebelum ini disandang Faizul Amri Adnan daripada PKR yang memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 dengan majoriti 2324 undi.