Oleh : Ibnu Janie
MASJID TANAH, 27 Julai : Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman mengimbas kejadian sedih yang menimpa Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PAS Kawasan Masjid Tanah pada tahun 2019 ketika masih menjadi pembangkang.
Menurut beliau, pada tahun lepas, PAS Kawasan Masjid Tanah diarahkan keluar dari dewan PERKIM yang disewa untuk mesyuarat agung hanya pada malam sebelum berlangsungnya mesyuarat itu.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam majlis perasmian MAT PAS Kawasan Masjid Tanah di Auditorium Kompleks Falak Al Khawarizmi di Tanjung Bidara, di sini semalam.
“Kita bermandi peluh memindahkan barang sehingga jam tiga pagi kerana pihak kerajaan PH pada masa itu mengarahkan PERKIM membatalkan tempahan kita. Pada hal masa itu kita sudah siap menghias dewan untuk mesyuarat tersebut yang bakal berlangsung pagi esoknya.
“Alhamdulillah, hanya setahun selepas kejadian sedih itu kita telah berjaya menjadi kerajaan dan dapat bermesyuarat agung di dalam dewan yang sejuk, indah dan selesa ini.” Kata beliau disambut dengan laungan takbir oleh para hadirin.