Home Artikel PAS Perlis

Usaha Pujuk PAS Bukti Pihak Lawan Makin Terdesak

3,046 views
SHARE

Oleh : Muhammad Hadi

ARAU : Ketika bahang PRU 14 semakin dirasai, usaha untuk memujuk PAS agar bersetuju mewujudkan pertandingan satu lawan satu semakin giat dijalankan, kata AJK PAS Pusat, Hj. Muhammad Sanusi Md. Nor.

Terbaru ujarnya, ada pihak di Kedah cuba memujuk Pesuruhjaya PAS Kedah, agar bersetuju untuk mewujudkan situasi satu lawan satu di negeri kedah pada pilihan raya umum nanti.

“Depa mai jumpa Pesuruhjaya PAS Kedah, supaya PAS Kedah bersetuju (agar) di kedah satu lawan satu.

“Walhal semua maklum, baik PAS Kedah, PAS Perlis, PAS Perak, semua ni ada satu keputusan (iaitu) mana-mana pendirian yang dibuat oleh PAS pusat, negeri akan patuh,” katanya ketika menyampaikan ceramah di Kompleks Pendidikan MADI, Arau, sempena program Himpunan Anak Muda Istiqamah Perlis (HAMAS 4.0) pada 25 November yang lalu.

Beliau menambah, sekiranya pihak berkenaan tetap mahukan pertandingan satu lawan satu, mereka perlu memastikan tiada calon mereka di kerusi-kerusi yang ditandingi PAS agar PAS dapat bertanding satu lawan satu menentang Umno.

Katanya lagi, usaha memujuk ini sebenarnya membuktikan betapa pihak berkenaan semakin terdesak untuk cuba memenangi PRU 14 yang dilihat semakin sukar tanpa kehadiran PAS dalam pakatan mereka.

“Tak boleh, dia nampak dia tak boleh pi dah, bila PAS tidak bersama-sama dengan Pakatan Rakyat, mereka hilang jentera,” ujarnya.

Pada PRU ke 13 yang lalu, PAS mewujudkan tahaluf siyasi dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR) dan pakatan tersebut berhasil membentuk kerajaan di tiga buah negeri.

Walaubagaimanapun, senarionya agak berbeza kali ini apabila PAS memutuskan kerjasama politiknya dengan PKR dan DAP, sekaligus memungkinkan wujudnya pertandingan tiga penjuru atau lebih dalam pilihan raya umum nanti.