Oleh Dhiya’ Muttmainnah
BATU, 7 Ogos: “Kita sebagai pejuang Islam mesti mengotakan apa yang kita janji. Bila kita menyebut ingin menyatupadukan ummah ini demi kepentingan negara, maka kita mesti tetap berusaha menyatukan walau apa jua orang kata”.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat merangkap Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim mengingatkan hal yang demikian sempena Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan (DMPWP) Kali Ke-39 semalam.
Menurut beliau, hal tersebut seiring dengan ayat Al-Quran dari Surah As-Saff, Ayat 2-3 yang bermaksud,
“Wahai orang-orang beriman! Mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan? Sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa saja yang tidak kamu kerjakan”.
(As-Saff, 2-3)
“Kita memandang penyatuan ummah ini sangat besar keperluan dan manfaatnya terutama apabila negara ini mempunyai majoriti 60% rakyat beragama Islam”, tambah beliau.
Tegas beliau lagi, Perikatan Nasional di dalam parlimen mempunyai bilangan keanggotaan yang minoriti dan diharapkan akan lebih bertambah dalam Pilihanraya Umum Ke-15.