Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Undi Percaya Hentikan Perebutan Kuasa

2134
SHARE

Undi Percaya Hentikan Perebutan Kuasa

1. Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) bersetuju sekiranya Usul Undi Percaya dibawa dalam sidang parlimen oleh mana-mana ahli parlimen bagi memberi signal jelas kepada rakyat sejauh manakah sokongan yang diperolehi oleh YAB Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia.

2. Umum mengetahui tentang hasrat menggantikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dengan Dato’ Sri Anwar Ibrahim sebelum habis penggal pemerintahan Pakatan Harapan, namun belum pun tiba tempoh dua atau tiga tahun seperti didakwa, rakyat disajikan dengan pertelingkahan terbuka pimpinan kerajaan sama ada di media cetak mahupun media sosial. Situasi ini semestinya merimaskan rakyat di saat pelbagai manifesto belum nampak sinar untuk ditunaikan, ekonomi negara yang tidak menentu serta kos sara hidup semakin menekan.

3. Pertelingkahan terbuka pimpinan PH yang memegang teraju kepimpinan negara menimbulkan persoalan, “Adakah Perdana Menteri sekarang ini benar-benar mendapat sokongan majoriti ahli-ahli parlimen sepertimana yang ditetapkan oleh Perlembagaan?”

4. Undi Percaya adalah selari dengan Perlembagaan sepertimana juga Undi Tidak Percaya. Undi Percaya bagi menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri pernah dilakukan pada tahun 1976 untuk menyokong kepimpinan Tun Hussein Onn melalui ahli parlimen Datuk Senu bin Abdul Rahman, malah pernah dilakukan semasa zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2003 melalui ahli parlimen Dato Ir Mohd Zin bin Mohamed.

5. Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) berpandangan adalah tidak wajar pertukaran Perdana Menteri dibuat sewenangnya-wenangnya sebagaimana yang telah menjadi amalan PKR yang menukar wakil rakyatnya sesuka hati sebelum tamat penggal dengan alasan ‘strategi politik’, kerana kali ini melibatkan jawatan paling utama negara dan pastinya ada bantahan daripada pelbagai pihak.

6. Pakatan Harapan sewajarnya membuktikan Perdana Menteri daripada gabungan pakatan mereka mendapat sokongan majoriti ahli dewan rakyat dalam parlimen tidak kira sama ada usul ini dibawa oleh ahli parlimen dari blok kerajaan atau pembangkang. Sikap melatah dan kepanasan hanya menunjukkan ada sesuatu yang disembunyikan.

Dr Najihatussalehah binti Ahmad
Ketua Penerangan
Dewan Muslimat PAS Malaysia
12 Februari 2020 bersamaan 18 Jamadilakhir 1441