Home Artikel PAS Pahang

Isu pemandu mabuk: Ambil dulu tindakan drastik

917
SHARE

 

KUANTAN: Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Rosli Abdul Jabar menegur kerajaan agar lebih peka dengan masalah pemandu mabuk yang kini pada tahap mengorbankan nyawa orang awam.

 

Beliau yang juga Adun Tanjung Lumpur, berkata demikian mengulas kejadian hari ini di mana dua lelaki yang maut angkara bertembung dengan pemandu yang mabuk di Pulau Pinang.

 

Sebelum ini, seorang lelaki maut manakala rakannya parah selepas motosikal ditunggang mereka dirempuh sebuah pacuan empat roda yang disyaki pemandunya mabuk Tawau.

 

Kes pemandu mabuk yang cuai telah banyak mengorbankan nyawa pengguna jalan raya yang lain sebelum ini.

 

Ustaz Rosli berkata, sepatutnya diambil dahulu tindakan drastik dalam apa juga penguatkuasaan undang-undang yang ada sebelum kononnya mahu dibentang dalam parlimen berkaitan hukuman pemandu mabuk.

 

“Saya cadangkan tutup dulu premis minum arak di restoran atau kelab-kelab malam ketika ini,  sebelum suatu usul undang-undang yang lebih ketat dibentangkan, kerana kita dapati semakin melampau nampaknya penonggang air syaitan dalam sehari dua ini.

 

“Adakah kementerian berkaitan tidak ada hati perut langsung melihat kematian yang menjadi mangsa kepada yang memandu dalam keadaan mabuk?

 

“Bayangkan, ada isteri yang menjadi balu, anak-anak mereka menjadi yatim malahan ada yang menjadi yatim piatu,” tegasnya.

 

Masalah pemandu mabuk yang membawa malapetaka di jalan raya telah lama diperdebatkan namun kerajaan bagaimanapun seolah-olah buntu untuk mencari satu penyelesaian tuntas.

 

Dari masa ke semasa, angka korban melibatkan kes pemandu mabuk terus memperlihatkan peningkatan yang menggerunkan.

 

“Jangan sampai rakyat beramai-ramai pakat doa biar menteri pula kena langgar dek pemandu mabuk. Menteri-menteri yang beragama Islam tolonglah berbunyi sikit …. apakah tiada langsung rasa bersalah?,” soalnya.