Home Artikel PAS Pahang

Umat Islam mesti dipimpin orang beriman

519
SHARE

INDERA MAHKOTA: Umat Melayu-Islam seharusnya merasa malu kepada Allah S.W.T ketika tampuk pemerintahan dan kepimpinan negara ini diambil alih dan didominasi oleh golongan bukan-Islam.

Perkara tersebut menjadi ujian ke atas umat ini yang berlaku selama 22 bulan di bawah Pakatan Harapan, sedangkan 70 peratus dari jumlah penduduk negara ini adalah terdiri dari kaum Melayu-Islam.

Ketua Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh menyuarakan muhasabah tersebut pada Pelancaran Munajat AKIFI Parlimen Indera Mahkota di Masjid Qariah Balok, di sini kelmarin.

Menurut beliau, Allah menjadikan acuan kepimpinan ke atas umat Islam mestilah diterajui oleh orang beriman yang ada kasih dan cinta kepada Allah sebagaimana umat dahulu dipimpin Nabi dan Rasul.

Tetapi jika sebaliknya jelas beliau, umat Islam akan mengalami kehinaan ditindas musuh yang tidak henti menyerang sama ada secara sembunyi mahupun terbuka seperti telah berlaku dalam sejarah.

Ustazah Nuridah mengimbas tragedi dahsyat dan zalim perbuatan musuh terhadap umat Islam antaranya di Palestin, Myanmar, Yaman, China hingga lebih 800 juta kaum Muslimin dinafikan hak tanah air.

Bahkan kata beliau, umat Islam telah menjadi pelarian dan berbalah sesama sendiri, selain sudut ekonomi di seluruh dunia juga menyaksikan hampir semuanya dimonopoli oleh orang bukan-Islam.

Kerana itulah serunya, umat Islam wajib bersatu hati dan kembali kepada Islam untuk bersama mempertahankan maruah terutama saat negara mereka dilanda konflik menentukan pucuk kepimpinan.

Malah dimotivasikan beliau dengan hadis Nabi S.A.W bahawa Allah akan memunculkan setiap 100 tahun seorang mujadid yang akan menyelamatkan bumi dan umat manusia kembali kepada-Nya.

Ustazah Nuridah mengajak untuk memanjatkan rasa syukur kerana ujian yang dilalui umat Islam di negara ini berubah apabila Perdana Menteri Ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan.

Terangnya, kesan dari itu seluruh Kabinet Kerajaan PH jatuh dan terbubar dengan sendirinya dan bertukar kepimpinan kembali ke tangan orang Melayu yang memahami mengenai Islam.

Munajat anjuran Kelab As-Sabiqat Muslimat PAS Indera Mahkota ini telah disertai ahli-ahli Muslimat PAS setempat termasuk juga daripada Wanita Umno Bahagian Indera Mahkota.

Penubuhan As-Sabiqat terdiri kalangan ahli veteran yang dijelmakan dari semangat ayat 10 hingga 12 surah Al-Waqi’ah ini turut diperkenalkan peranannya kepada para hadirin majlis ini.

Sempena majlis ini juga seluruh Jawatankuasa Muslimat Cawangan (JMC) telah diperingatkan untuk menyeragamkan pelaksanaan aktiviti bacaan Yaasiin, tahlil serta zikir munajat AKIFI dan ceramah kelompok.

Hadir sama Ketua As-Sabiqat PAS Pusat, Khadijah Mahmud dan Ketua Muslimat PAS Indera Mahkota, Salwani Salleh serta isteri ADUN Beserah, Nor Izni Wahab dan Ketua Wanita Umno Indera Mahkota, Wan Napiah Wan Yusuf.

Ketua As-Sabiqat Indera Mahkota, Hasnah Arshad berkata, program ini sebagai usaha memohon pertolongan Allah dan menjadi motivasi buat petugas pilihan raya.

Penulis: Nik Halawati & Wan Haniza
– HARAKAHDAILY 29/9/2020
https://harakahdaily.net/index.php/2020/09/29/umat-islam-mesti-dipimpin-orang-beriman/