Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Umat Islam Mesti Bersatu Menangkis Penghinaan Terhadap Rasulullah

3411
SHARE

KENYATAAN MEDIA DEWAN MUSLIMAT PAS MALAYSIA (DMPM)
Mendepani Fitnah dengan Akhlak

1- Keberanian menghina agama Islam dan mencipta persepsi negatif terhadap Nabi Muhammad SAW menjadi fenomena kebelakangan ini yang boleh mencetuskan kebangkitan dan kemarahan umat Islam untuk mempertahankan agama mereka. Kita dapat melihat apabila seorang netizen bernama Foo Sing Wai menaikkan status Facebook menghina Rasulullah SAW. Perbuatan biadap ini semakin menjadi-jadi di bawah kerajaan PH yang didominasi DAP ketika ini.

2- Dalam al-Quran telah jelas Allah S.W.T berfirman yang bermaksud;
“Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah (justeru) menyempurnakan cahaya-Nya, walau orang-orang kafir membencinya” [Surah as-Soff : 8]

3- DMPM menyedari hakikat bahawa hal ini berlaku kerana musuh-musuh Islam ingin memperlihatkan agama Islam sebagai agama yang mengancam hidup sama ada dalam aspek keharmonian bermasyarakat, ekonomi mahupun politik.

4- Di samping penerimaan terhadap ajaran Baginda Rasulullah SAW yang semakin hari semakin diterima di seluruh dunia.

5- Tidak ketinggalan Ustazah dan seluruh Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Malaysia merasa sangat marah dengan penghinaan yang ditimbulkan baru-baru ini, boleh jadi akibat rasa benci dan juga kurang pengetahuan tentang sirah hingga mereka berani menyebarkan fitnah dan persepsi terhadap Rasulullah SAW.

6- Kami dengan tegas menyeru agar pihak kerajaan mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut lunas undang-undang terhadap si pelaku agar keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia terus subur tanpa sebarang permusuhan terutama melibatkan bangsa dan agama.

7- Secara tidak langsung, situasi ini mengingatkan kita tentang sirah perjuangan Baginda yang telah dahulu menerima lemparan kata-kata kesat dan fitnah namun sesekali tidak menghentikan usaha dakwah Rasulullah s.a.w, jauh sekali membalas semula perbuatan keji tersebut.

8- Akhir kalam, saya menyeru agar kita kuatkan kembali kekuatan umat Islam iaitu dengan kembali bersatu di atas nilai agama Islam, yang mana ini menjadi keyakinan buat kita bahawa keadilan dan keharmonian yang sebenar dapat dikecapi dan dikembalikan buat semua kaum dan agama sebagaimana zaman kegemilangan pemerintahan khilafah Islam dahulu.

SENATOR USTAZAH HAJAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
19 Februari 2019 bersamaan 14 Jamadil Akhir 1440H