Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Ujian Yang Berat Untuk Orang Yang Hebat

1277
SHARE

Ujian Yang Berat Untuk Orang Yang Hebat

Rawang, Selangor : “Ujian yang berat adalah untuk orang yang hebat”- Itulah yang boleh diungkapkan buat Muslimat PAS yang tidak pernah kenal erti lelah mahupun cabaran dan rintangan dalam perjuangan. Semangat berjuang yang sentiasa membara di hati mereka tidak pernah pudar. Seawal pagi lagi setelah selesai menguruskan semua urusan rumahtangga, dua orang Muslimat yang juga bergelar isteri dan ibu menelusuri lebuh raya menuju ke Rantau demi untuk memenangkan Islam.

‘Malang tidak berbau’, pada 9 April 2019 yang lepas, dua orang muslimat hebat ini yang juga memegang jawatan penting dalam sayap kanan Jemaah PAS iaitu Penolong Setiausaha I dan Penolong Setiausaha II Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) telah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya semasa dalam perjalanan menuju ke PRK Rantau baru-baru ini.

Alhamdulillah, dilaporkan kedua mereka selamat walaupun kenderaan yang mereka naiki mengalami kerosakan yang agak teruk. Penolong setiausaha I, Puan Norhafiza Fadzil yang duduk di kerusi penumpang bahagian hadapan tidak mengalami apa-apa kecederaan, manakala Penolong setiausaha II, Puan Norazlin Md Shamsuddin yang memandu kereta tersebut mengalami kecederaan di tangan dan perlukan rawatan serta perhatian doktor untuk beberapa hari.

Justeru, pada 13 April 2019 baru-baru ini, rombongan DMPM yang diketuai oleh YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh merangkap Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia menziarahi Puan Norazlin di kediamannya di Rawang. Turut serta dalam ziarah tersebut ialah Timbalan Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) DMPM, Puan Zurina Din.

YB Senator Ustazah Nuridah sempat menyampaikan sumbangan kepada Puan Norazlin dalam ziarah tersebut. Sumbangan yang tidak putus dari sahabat-sahabat dan juga orang ramai yang prihatin di atas kemalangan tersebut in shaa Allah dapat membantu membaiki kenderaan mereka yang telah banyak berkhidmat untuk kerja-kerja dakwah dan perjuangan Islam.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah niscaya akan dibalasi dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan). ” [Al Anfaal : 60]