Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

UEC: Usah Minta Diterima Jika Tidak Mahu Menerima

1251
SHARE

UEC : USAH MINTA DITERIMA KALAU TAK MAHU MENERIMA

1. Seperti yang dinyatakan dalam AKTA Pelajaran 1961 “Bahawasanya dasar pelajaran seperti yang diisytiharkan dalam Ordinan Pelajaran, 1957 ialah untuk menubuhkan satu sistem pendidikan yang akan dapat memenuhi keperluan Negara dan menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi, dan politiknya…”. Jelas aspirasi pelajaran yang telah dinyatakan sejak awal penubuhan Negara Malaysia untuk menjadikan Malaysia mempunyai satu sistem pendidikan tidak kira peringkat rendah, menengah mahupun peringkat tinggi.

2. Malahan strategi yang dinyatakan bagi menjayakan Akta Pelajaran tersebut antaranya menyebut menjadikan Bahasa Malaysia sebagai pengantar bahasa yang utama dan satu sistem peperiksaan buat semua. Malaysia telah meletakkan syarat Sijil Pelajaran Malaysia sebagai asas untuk memohon masuk ke universiti tempatan. Sesuatu yang telah diterima pakai sejak bertahun lama dan tidak pernah menimbulkan apa-apa masalah. Tidak kiralah aliran apa mereka belajar di sekolah menengah, mereka wajib mengambil SPM untuk meneruskan pelajaran di Institusi Pengajjan Tinggi (IPT).

3. Permintaan dari DAP yang tetap berkeras untuk meminta IPT menerima sijil UEC adalah sesuatu yang amat dikesali. UEC mengambil silibus yang diambil dari negara Taiwan yang menjadikan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar untuk kesemua mata pelajaran yang diambil. Ini bermakna, mereka tidak perlu belajar Bahasa Melayu di sekolah. Perlu diingat peperiksaan UEC ini diwujudkan selepas bantuan pelajaran untuk Sekolah Cina swasta dihentikan kerana keengganan mereka menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

4. Secara tidak langsung penerimaan UEC sebagai syarat kemasukan IPT Malaysia akan membuka ruang sistem vernacular yang lain menuntut hak mereka juga. Ini akan mewujudkan suasana tidak aman dan perpecahan akan semakin melebar di Malaysia.

5. Dewan Muslimat PAS Malaysia mengharapkan pihak kerajaan bertegas dalam hal ini biarpun perkara tersebut termaktub dalam manifesto Pakatan Harapan. Menjayakan manisfesto yang lain seharusnya menjadi keutamaan Pakatan Harapan bukan menjayakan manifesto yang bakal mengundang perpecahan kaum.

Dr Najihatussalehah Ahmad,
Ketua Penerangan
Dewan Muslimat PAS Malaysia.
2 Februari 2020
8 Jamadil Akhir 1441