Home Kenyataan Media PAS Kelantan

UEC dalam pengambilan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP)

83
SHARE
PAS ingin mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Menteri Kanan Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang telah mengumumkan pengambilan Pegawai Pendidikan Gred DG41 seramai 18,702 orang pada 20hb Jun 2021. Pengambilan calon-calon guru ini telah bermula pada 7hb Julai 2021. Semoga pengambilan guru-guru ini akan dapat meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini. Tahniah sekali lagi kepada KPM dan Kerajaan Malaysia.
Berkaitan dengan pengambilan pelajar-pelajar baharu Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di IPGM, masyarakat Malaysia secara umumnya berpandangan penerimaan Sijil Unified Examination Certificate (UEC) untuk pengambilan calon-calon guru opsyen Bahasa Cina dalam program PISMP perlu dinilai semula selepas 10 tahun pelaksanaannya. Selaras dengan perkembangan pendidikan negara dan pendidikan Abad ke-21, dasar pengambilan ini perlu diteliti dan disemak semula oleh KPM sekurang-kurangnya atas sebab-sebab berikut:
I. Sistem pendidikan di Malaysia hendaklah berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Dasar Pendidikan Negara dan Dasar Pembinaan Negara dan Bangsa serta ditadbir dan diurus berpandukan Akta Pendidikan 1996 dan Kurikulum Kebangsaan.
II. Sistem pendidikan yang selain sistem pendidikan kebangsaan tidak wajar untuk diiktiraf di dalam sistem pendidikan kebangsaan.
III. Pengiktirafan Sijil UEC adalah tidak selaras dengan dengan Akta Pendidikan 1996, Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Kebangsaan.
IV. Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar hendaklah dijadikan bahasa penghantar dalam pelaksanaan sistem pendidikan kebangsaan.
V. Pengiktirafan Sijil UEC adalah tidak adil kepada mereka yang sedang dan telah mengikuti sistem pendidikan kebangsaan yang sedia ada.
VI. Pelaksanaan UEC dibimbangi akan mewujudkan dwi-standard dalam sistem pendidikan negara dan boleh menghakis identiti kebangsaan di Malaysia.
VII. UEC hanya diterima oleh segelintir kaum Tionghua sahaja. Ianya tidak mewakili keseluruhan kaum Tionghua di sekolah persendirian Cina peringkat menengah kerana kos yang tinggi dan tempatnya yang terhad.
VIII. Pentaksiran dalam bidang Pendidikan Islam di negara ini mengikut dasar dan sistem pendidikan negara dengan menjadikan peperiksaan mereka (STAM dan SMA) selari dengan sistem pendidikan negara malah sijil tersebut mendapat pengiktirafan lebih luas di peringkat antarabangsa.
Sehubungan itu, KPM perlu memperkasakan prasarana di sekolah jenis kebangsaan di Malaysia (SJKC) dan (SJKT) dan sekolah-sekolah menengah kebangsaan. Kerajaan perlu lebih tegas untuk memperkasakan sistem pendidikan di Malaysia berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Pembinaan Negara bangsa yang sedia ada.
PAS tetap konsisten dengan pandangan untuk menolak pengiktirafan terhadap Sijil UEC dan mencadangkan agar satu Jawatankuasa Khas Kabinet ditubuhkan untuk menilai semula dasar pengiktirafan Sijil UEC ini. Pelaksanaan kurikulum UEC hendaklah disemak dengan diteliti oleh pakar-pakar pendidikan daripada KPM secara komprehensif dan menyeluruh.
Lajnah Pendidikan PAS Pusat bercadang untuk mengadakan perbincangan segera dengan YB Menteri Kanan Pendidikan dan KPM untuk menyampaikan cadangan-cadangan berkaitan perkara ini khususnya dan juga pelaksanaan sistem pendidikan secara amnya.
Sekian, terima kasih.
YB. Dato’ Dr. Mohd Fadzli Bin Haji Hassan
Pengerusi, Lajnah Pendidikan Pas Pusat.