Home Berita PAS Melaka

TYT Melaka Perkenan Perlantikan Adun Kuala Linggi Sebagai Exco

2477
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

MELAKA : Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil Yaakob telah memperkenan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan N1 Kuala Linggi, Yang Berhormat Datuk Wira Ar. Haji Ismail Haji Othman sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Melaka. Demikian dinyatakan oleh YAB Ketua Menteri Melaka, Datuk Haji Sulaiman Md Ali di dalam paparan terbaru Facebook beliau sebentar tadi.

Menurut Ketua Menteri Melaka itu, ‘Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia’ telah berlangsung di hadapan Tuan Yang Terutama Tun di Dewan Seri Utama, Pejabat Tuan Yang Terutama di Kompleks Seri Negeri, hari ini.

Tambah kenyataan itu lagi, istiadat berkenaan turut dihadiri beliau sendiri sebagai Ketua Menteri Melaka; Yang Berhormat Datuk Seri Hasim Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri serta Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Setinggi-tinggi terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun kerana telah memperkenankan pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tersebut, dan tahniah kepada YB Datuk Wira Ar. Haji Ismail atas pelantikan tersebut.” kata beliau lagi di dalam hantaran FB tersebut.

Namun kenyataan itu tidak menyatakan portfolio yang bakal dipegang oleh YB A.r Ismail.

Kredit sumber dan foto : Facebook Rasmi YAB Datuk Haji Sulaiman Md Ali, Ketua Menteri Melaka


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)