Home Artikel PAS Pahang

TVMakmur terbit rancangan YB jadi hos

337
SHARE

Dalam sesuatu rancangan talk show di TV atau di facebook, biasanya wakil rakyat atau Yang Berhormat akan menjadi tetamu iaitu sebagai orang yang diwawancara. Yang menemubual pula biasanya seorang moderator atau pengerusi panel.

Berbeza pula dengan pendekatan yang diambil oleh TVMakmur sebuah stesen penyiaran tv online apabila menerbitkan sebuah rancangan bersiri yang dinamakan Lakaran Kehidupan. Dalam siri itu Yang Berhormat wakil rakyat akan menjadi hos rancangan dan beliau akan mewawancara individu dari kalangan masyarakat setempat pelbagai latar belakang yang mempunyai kisah kehidupan yang menarik.

“Kami cuba menampilkan kepada para penonton para pemimpin khususnya wakil rakyat yang mahu mengambil tahu tentang anggota masyarakat di sekitar kawasan yang ia wakili dengan menemubual sendiri mereka bertujuan untuk memahami kehidupan yang mereka lalui”, kata Ketua Penerbit TVMakmur Azahari Abdullah yang bertanggung jawab merancang konsep dan format rancangan tersebut.

“Para penonton turut akan mendapat manfaat daripada tetamu yang ditampilkan pada setiap episod kerana hos akan menjadikan tetamu sebagai insan berjaya yang boleh dicontohi walaupun beliau menyingkap perjalanan hidup yang sukar dan pahit di peringkat awal”, kata Azahari lagi.

Episod pertama Lakaran Kehidupan akan mula ditayangkan di facebook tvmakmur.com pada hari Ahad 25 Oktober pukul 9.30 malam dengan menampilkan Yang Berhormat Andansura Rabu sebagai hos. Setiap siri boleh ditonton semula di laman itu pada bila-bila masa kemudiannya.

Agak menarik juga apabila di akhir rancangan tetamu akan diberi peluang bertanyakan soalan-soalan peribadi kepada Yang Berhormat wakil rakyat.

TVMakmur yang berpangkalan di Temerloh turut mempunyai pasukan operasi di Kuantan dan dijangka menubuhkan pasukan operasi di daerah-daerah lain pada masa akan datang. Buat masa ini TVMakmur bukanlah sebuah stesen yang berorientasikan keuntungan bahkan dana operasinya diperolehi dari sumbangan orang ramai dan petugas-petugasnya adalah sukarelawan sahaja.

Orang ramai boleh menghulurkan bantuan kewangan melalui laman web dana.tvmakmur.com atau terus ke Akaun Maybank 556020066810.