Home Artikel PAS Wilayah

DPPK Labuan serah sumbangan, cakna masalah rakyat.

345
SHARE

Oleh : Jenno Jamil

LABUAN: Dewan Pemuda PAS Kawasan (DPPK) Labuan melalui Lajnah Kebajikan DPPK telah menyerahkan sumbangan barang asas makanan hasil daripada infak ahli PAS dan orang awam kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Labuan di sini, kelmarin.

Ramai warga Labuan amnya terjejas terutamanya dalam kalangan mereka yang menjalani kuarantin di rumah dan hilang punca pendapatan apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Labuan dilaksanakan.

Yang di-Pertua PAS Kawasan Labuan, Hamir Zahari turut hadir bersama dengan Ahli Jawatankuasa DPPK Labuan yang lain dalam program penyerahan tersebut kepada Pengarah JKM Labuan, Ansharey Matarsad.

Hamir berkata antara barang asas makanan yang disumbangkan ialah beras, minyak masak, bihun, sardin, telur, susu pekat, gula dan biskut.

Keseluruhannya berjumlah 41 kit makanan yang akan memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan.

Ketua Lajnah kebajikan DPPK, Khairul Anwar Salleh juga menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua penyumbang dan terus mematuhi arahan daripada pihak kerajaan.

“Terima kasih atas sumbangan infak daripada ahli PAS dan orang ramai yang prihatin dan sudi membantu serta menjayakan program ini. Semoga bantuan ini bermanfaat bagi penerima dan mudah-mudahan kita semua selamat daripada pandemik COVID-19,” katanya.

Terdahulu Wilayah Persekutuan Labuan telah diisytiharkan PKPB bermula 17 Oktober sehingga 30 Oktober oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 di wilayah ini.