Home Artikel PAS Pahang

Tun, tarik tuduhan liwat terhadap Anwar!

246
SHARE

 

PAS Pahang meminta Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad menarik semula tuduhan liwat terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum menasihati PAS dalam usaha penyatuan ummah dengan UMNO.

 

Ketua Penerangannya, Mohd Tarmizi Yahaya berkata, kedua-dua pimpinan daripada gabungan PH itu boleh mewujudkan kerjasama tanpa menarik pun tuduhan liwat yang mengaibkan Anwar sebelum ini.

 

Tarmizi yang juga Adun Panching berkata, namun apabila PAS dan UMNO mahu bergabung membentuk perpaduan ummah, pemimpin nombor satu negara itu cuba membangkitkan isu kafir yang tidak pernah dibangkitkan oleh kepimpinan parti Islam terbabit.

 

“Barisan kepimpinan utama PAS bukannya mengkafirkan UMNO dan saya ingatkan di sini mereka yang keterlaluan mengatakan UMNO selama ini kafir telah berpindah masuk dalam gabungan PH.

 

“Jadi, kalau Dr Mahathir suruh tarik balik tuduhan itu (kafir) pada UMNO sedangkan ia tidak pernah berlaku dalam kalangan pemimpin dan ahli PAS buat masa ini,” katanya ketika dihubungi media di Kuantan.

 

Kelmarin, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta supaya PAS menarik balik amanat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menuduh UMNO sebagai parti kafir sebelum memuktamadkan kerjasama antara kedua parti  melalui pemeteraian piagam dan memorandum persefahaman (MoU) pada Sabtu.

 

Beliau mahu Abdul Hadi meminta maaf secara terbuka kepada UMNO kerana mengkafirkan parti itu sebelum membuat perjanjian baharu berkenaan.

 

Mengulas lanjut mengenai dakwaan itu, Mohd Tarmizi berkata, amanat yang disampaikan Abdul Hadi tidak ada kaitan langsung dengan mengkafirkan UMNO.

 

“Abdul Hadi hanya berkongsi mengenai ciri-ciri batasan iman dan kufur dalam amanatnya dan tiada amanat seperti yang didakwa oleh Dr Mahathir,” katanya.

 

Dalam pada itu, Mohd Tarmizi berkata, PH kini dalam keadaan tertekan dan disebabkan itu pemimpin dalam gabungan itu memainkan pelbagai isu bagi mengagalkan usaha ke arah perpaduan ummah ini.

 

Jelasnya, pemimpin PH gerun dengan wujudnya gabungan ini lantaran kedudukan mereka akan tergugat dan mungkin akan jadi penyebab kepada kekalahan mereka pada PRU15.

 

“Mereka (PH) sedar penyatuan ummah ini akan menyebabkan orang melayu bersatu dan boleh mengundang kehilangan kerusi parlimen yang dikuasai mereka pada hari ini,” katanya.