Home Minda Presiden

Tun Salleh ‘Abbas Dalam Kenangan

461
SHARE

TUN SALLEH ‘ABBAS DALAM KENANGAN

Kita telah kehilangan seorang tokoh besar dalam ilmu perundangan, Tun Salleh ‘Abbas yang meninggalkan kita kerana ajal yang ditetapkan oleh Allah SWT kepada semua hamba-Nya.

Marilah kita panjatkan doa kepada Allah supaya roh beliauditempatkan bersama orang-orang yang soleh, menepati dengan nama dirinya kerana khidmat dan amalnya kepada Allah, negara dan umat Islam.

Saya merapati beliau secara langsung apabila dilantik oleh PAS bagi menyediakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan dan Terengganu yang telah diluluskan oleh kedua-dua Dewan Undangan Negeri.

Kami bersama Almarhum Ustaz Harun Taib (mantan Ketua Dewan Ulama PAS), Datuk Abdul Halim Mohamed (mantan  Penasihat Undang-Undang dan Exco Kerajaan Negeri Kelantan), Datuk Daud Muhammad (mantan Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Kelantan), Dato’ Haji Abdul Halim Abdul Rahman (mantan Timbalan Menteri Besar Kelantan) dan Dato’ Haji Wan Abdul Mutalib Embong (mantan Pengerusi LUHAM PAS dan Exco Kerajaan Negeri Terengganu). Hanya Dato’ Haji Abdul Halim Abdul Rahman, Dato’ Haji Wan Abdul Mutalib Embong dan saya masih dipanjangkan umur menjadi saksi yang masih hidup.

Almarhum Tun Salleh ‘Abbas menggunakan penselnya apabila ditugaskan menyusun ayat undang-undang supaya senang kalau perlu diperbetulkan dan diubah dalam perbincangan. Seterusnya dipertanggungjawab menyediakan sepenuhnya draf enakmen tersebut. Maka undang-undang yang bertulis itu adalah hasil khidmat tulisannya.

Saya dimaklumkan perjanjian petroleum antara Kerajaan dan Petronas juga hasil  tangannya. Mudah-mudahan menjadi amalan jariah buat beliau walaupun telah meninggalkan kita.

Saya menyaksikan kehebatan peribadi beliau yang berjati diri kebal bersama Islam, walaupun dicelup dengan pendidikan tinggi barat sehingga dikenali ketokohannya di peringkat antarabangsa. Laksana ikan yang gagah perkasa tidak boleh dimasinkan oleh lautan air masin yang mengepungnya dengan ombak yang bertubi-tubi.

Beliau pernah mengaji agama di pondok dan mampu menulis tulisan jawi yang cantik. Katanya kepada saya, bahawa beliau lebih mahir membaca dalam Bahasa Melayu dengan tulisan jawi daripada membaca dengan tulisan rumi. Walaupun ruminya sangat terpengaruh dangan banyak membaca Bahasa Inggeris.

Saya menyaksikan betapa cintanya kepada Islam kerana suka mendalami ilmu agama sehingga akhir hayat. Beliau setia menghadiri Kuliah Dhuha di Masjid Rusila pada setiap Jumaat dan naik ke ruang tamu rumah saya untuk berbincang lagi. Soalan-soalannya menakutkan saya, kerana kadang-kadang terpaksa merujuk kitab dahulu untuk menjawab. Beliau benar-benar melaksanakan amanat Rasulullah SAW supaya menuntut ilmu daripada buaian sehingga ke liang lahad.

Beliau menjadi ahli parti yang setia dengan hidup penuh tawaduk bersama orang kampung, darat dan hulu, sehingga mereka yang berada di menara gading. Beliau bersedia bertanding apabila diminta oleh parti walaupun hanya di peringkat DUN dan dilantik menjadi Exco Kerajaan Negeri Terengganu. Seringkali diajak ke mahkamah oleh peguam muda kalau ada kes di mahkamah. Kata mereka, kalau para hakim melihat wajah Tun Salleh sudah cukup menggerunkan mereka. Apatah lagi kalau nas undang-undangnya dalam ingatan sahaja.

Saya masih ingat beliau meluahkan kata-kata, barang kali kerana banyak membaca ketika bersama menyediakan undang-undang syariat:

“Kalau beginilah cara pelaksanaan undang-undang Islam, saya percaya para hakim tentu akan banyak masa berehat kerana tidak banyak kes jenayah disebabkan kehebatan syariat Allah SWT sehingga menakutkan bakal penjenayah.”

Begitulah juga pada masa sihatnya, beliau mengikuti perkembangan politik  semasa, kalau ada kebimbangannya terhadap apa-apa langkah yang diambil oleh PAS, Almarhum Tun Salleh datang sendiri meluahkan pandangannya.

Tun Salleh ‘Abbas adalah beberapa tokoh dibelakang tabir PAS. Tokoh-tokoh yang mendahuluinya seperti Almarhum Profesor Ungku Omar, Almarhum Aminudin Baki, Almarhum Profesor Ahmad Ibrahim dan lain lain.

Kita mendoakan semoga Allah melimpahkan kurniaan-Nya kepada mereka, supaya mendapat keredhaan dan keampunan Allah, diterima amalan yang soleh, diampunkan segala dosanya, ditempatkan bersama orang-orang soleh yang berjasa kepada agama dan umatnya, serta diletakkan dalam syurga bersama tokoh pemimpin barisan hadapan yang mendahului kita, supaya berada dalam kalangan mereka yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

﴿مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ  فَمِنْهُمْ مَنْ قَضَى نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَنْ يَنْتَظِرُ  وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا٢٣﴾ [الأحزاب: 23]

“Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka tidak merubah (janjinya)” (Surah al-Ahzab: 23)

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Bertarikh: 3 Jumadal Akhirah / 17 Januari 2021