Home Berita PAS Perak

Tugas JPKK salur informasi, permudah urusan antara rakyat dan kerajaan

43
SHARE

Jaudin M Amin

BUKIT GANTANG, 21 Jun : Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) perlu berfungsi menyampaikan maklumat serta mempermudahkan urusan antara rakyat dan kerajaan.

Selain menyampaikan dasar-dasar kerajaan, JPKK juga perlu menyalurkan permasalahan rakyat agar pihak kerajaan dapat menanganinya dengan seberapa segera.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Haji Idris Haji Ahmad berkata, “Jawatan yang disandang oleh ahli-ahli JPKK adalah amanah yang berat namun ianya pasti mendapat anugerah yang besar di sisi Allah SWT kelak.

“Tugas tuan-tuan adalah memudahkan urusan rakyat dan membantu mereka memperolehi manfaat srta insentif yang banyak disediakan oleh kerajaan Pusat dan Negeri sekiranya mereka berkelayakan.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS menambah, saban minggu lebih separuh perbincangan di dalam mesyuarat jemaah Menteri mengenai bagaimana menangani isu-isu berkaitan rakyat, kos sara hidup dan bantuan-bantuan yang diberikan oleh kerajaan.

“Di peringkat Parlimen Bukit Gantang, PAS Kawasan sentiasa menyantuni rakyat marhain dengan menyampaikan bakul makanan, katil khas untuk pesakit kronik serta membantu rakyat berurusan dengan pihak berwajib seperti Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat melalui Pusat Khidmat PAS.

“Terkini, kita melancarkan Jualan Bergerak Bantu Rakyat yang menawarkan lapan item barangan dapur dengan potongan harga sehingga 20%.

Ia mendapat sambutan hangat daripada rakyat sewaktu pelancarannya di Kampung Kurnia Jaya, Kamunting pagi ini dan insyaAllah program seumpama ini akan diteruskan di lokasi yang lain pula.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan perasmian Makan Malam Dan Penyampaian Baju Korporat JPKK di Pusat Tarbiah PAS Kawasan, Kampung Bukit Chempedak dekat sini malam kelmarin.

Turut hadir, Yang Dipertua PAS Kawasan, Haji Rahim Ismail, Ahli Majlis Perbandran Taiping (MPT), Muhammad Faisal Abdul Rahman dan Penghulu Kanan Mukim Taiping, Ahmad Asmadi Mat Salim.

Turut serta, Penghulu Mukim Matang, Nasarudin Mawi, Penghulu Mukim Bukit Gantang, Mustafa Kamal Zahari, Penghulu Mukim Trong, Shahrul Nizam Abdul Rashid dan Penghulu Mukim Sungai Tinggi, Zulfadzli Ahmad.

Pada majlis tersebut, para Penghulu mewakili JPKK Mukim masing-masing menerima sumbangan baju korporat daripada Idris. Lebih seratus ahli JPKK yang mewakili parti PAS, BERSATU dan UMNO hadir pada majlis tersebut.