Home Berita PAS Kedah

Tuduhan di media sosial boleh membawa kepada fitnah

150
SHARE

 

ALOR SETAR – Exco Kerajaan Kedah, Datuk Siti Aishah Ghazali meminta rakyat tidak menggunakan media sosial untuk membuat tuduhan terdapat rasuah dan penyelewengan.
Katanya, elak menjatuhkan hukuman sendiri tanpa siasatan dan perbicaraan mahkamah.
” Menghakimi di media sosial boleh membawa kepada fitnah dan penganiayaan kepada tertuduh, ” katanya ketika dihubungi portal KedahOnline, hari ini.

Siti Aishah yang juga ADUN Merbau Pulas berkata demikian ketika mengulas tuduhan netizen di media sosial ke atas Penghulu yang didakwa tidak membuat agihan bantuan kebajikan dengan betul berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Ekoran tohmahan tanpa asas yang turut dipalitkan terhadap Ketua Kampung itu, laporan polis dibuat Pengerusi Kesatuan Penghulu Penggawa Semenanjung Malaysia Cawangan Kedah, Jamani Jamaludin.
Muat naik berunsur fitnah dan kecaman di laman _Facebook_ ‘Kedah Dihatiku’ pada jam 11:21 malam Sabtu lalu itu direkodkan dalam aduan yang telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, di sini semalam.

Jamani yang juga Penghulu Pengkalan Kundur memaklumkan, laporan sama akan dibuat oleh semua penghulu dari seluruh mukim dalam negeri Kedah, selain akan dipanjangkan ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
Terdahulu, turut menjadi mangsa tuduhan netizen di media sosial adalah dakwaan kononnya guru besar di sekolah negeri ini telah menyelewengkan duit zakat pelajar hingga menimbulkan cemuhan.

Yang Dipertua Majlis Guru Besar Negeri Kedah, Abdul Rashid Mohd Kassim sehubungan itu membuat laporan polis ke atas pemilik akaun _Facebook_ bernama Roslan Aziz itu di IPD Kubang Pasu, kelmarin.
Abdul Rashid berkata, ia menyebabkan integriti dan maruah penjawat awam Kementerian Pendidikan atas jawatan guru besar dipertikaikan. Ia tidak berasas dan berniat jahat.
Beliau menjelaskan prosedur pengeluaram wang zakat dalam Sumbangan Wang Amanah perlu melalui jawatankuasa dan auditnya.