Home Berita PAS Terengganu

Tubuh Petugas ‘Stay Safe’ ajak orang kampung ambil vaksin

14
SHARE

Oleh:Noraini Jusoh

KUALA TERENGGANU, 18 Jun – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) telah membentuk Pasukan Petugas Stay Safe-KETENGAH Region (S-Reg) bagi menggerakkan Program Vaksinasi Penduduk Wilayah di daerah Dungun, Hulu Terengganu dan Kemaman.

Pengerusi KETENGAH, Senator Dato’ Razali Idris berkata, S-Reg di bawah Program KETENGAH Ambik Cakne digerakkan dengan kekuatan lebih 200 orang sukarelawan.

Jelasnya, pasukan itu akan mengemaskini data dan laporan status pendaftaran vaksin penduduk di wilayah berkenaan.

“Sukarelawan ini akan turun ke kampung-kampung bagi membantu proses pendaftaran khususnya penduduk yang menghadapi kekangan untuk mendaftar secara maya.

“S-Reg juga akan bertindak menyelaras pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dalam wilayah dengan membantu melaksanakan persiapan tempat dan menyediakan kemudahan pengangkutan kepada penduduk yang memerlukan ke lokasi PPV,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau memaklumkan, gerak kerja pasukan petugas S-Reg ini telah pun dilaksanakan sejak awal Jun dengan pelbagai kempen kesedaran secara digital, fizikal dan ‘Info On Wheels’ ke pedalaman kampung bagi penyaluran maklumat yang tepat berkaitan persepsi masyarakat terhadap program vaksinasi nasional.

“KETENGAH juga turun padang bersama Pejabat Kesihatan Daerah dengan dibantu oleh 91 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bergerak dari rumah ke rumah bagi memudahkan penduduk mendaftar vaksin dan mempercepat proses suntikan diperolehi.

Tambahnya, insentif juga disediakan dalam bentuk geran pembangunan kepada kampung-kampung yang berjaya mencapai peratusan vaksinasi penduduk sehingga 80 peratus menjelang akhir Ogos 2021.

“Peruntukan sejumlah RM200 juga disalurkan kepada setiap pengurusan JPKK bagi membantu urusan pentadbiran diperingkat kampung.

“Usaha ini merupakan inisiatif KETENGAH setelah menyediakan beberapa insentif sokongan lain dalam rangka membantu meringankan beban masyarakat luar bandar terutamanya para usahawan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 secara terus selama tiga bulan bermula Mei hingga Julai 2021 melibatkan 4,443 orang penerima manfaat dengan implikasi kewangan sebanyak RM917,443.65,” ujarnya.

Katanya lagi, penyediaan Bantuan Bakul Makanan juga dilaksanakan kepada 3,200 buah keluarga dengan implikasi kewangan sebanyak RM366,000.

“Insentif ini merupakan sambungan kepada insentif terdahulu yang telah dilaksanakan bermula PKP 1.0 melibatkan kos berjumlah RM1.1juta bagi tujuan yang sama,” jelas beliau.