Home Berita PAS Pusat

Tubuh Jawatankuasa Khas PdPR

594
SHARE

TUBUH JAWATANKUASA KHAS PdPR

1. Mutakhir ini ramai yang membincangkan mengenai hal PdPR. Satu kaedah pembelajaran yang menggunakan alat peranti komunikasi maya serta kemudahan capaian internet. Inilah antara corak pendidikan era pandemik covid19.

2. Mahu tidak mahu semua pihak perlu menerima realiti yang ada serta sanggup berhadapan dengan perubahan teknik pengajaran dan pembelajaran norma baru.

3. Dalam hal ini pihak Lajnah Pendidikan PAS menyambut baik keputusan pihak KPM yang telah memperkenalkan teknik Pengajaran dan Pembelajaran dalam talian sejak bermulanya PKP tahun lalu bagi mengurangkan kadar jangkitan di kalangan pelajar sekolah.

4. Namun begitu, perkara yang menjadi kekangan kepada para ibu bapa dan sesetengah pihak sekolah adalah kekurangan alat peranti serta kemudahan fasiliti bagi pengoperasian teknik PdPR di sesetengah lokaliti setempat. Keadaan ini terjadi apabila para pelajar tidak dapat mengakses kandungan pelajaran tepat pada masa dan jadual ketika sesi pembelajaran itu berlangsung.

5. Hal ini sedikit sebanyak membantut minat para pelajar untuk menekuni pelajaran serta melambatkan perjalanan silibus pengajian.

6. Sehubungan dengan itu, Lajnah Pendidikan PAS Pusat senada dengan saranan Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd Dom supaya pihak KPM menubuhkan jawatankuasa khas bagi menangani isu yang berbangkit berhubung dengan PdPR.

7. Bahkan kementerian lain juga seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi perlu turut serta berganding bahu bagi mencari jalan penyelesaian yang tuntas supaya ianya tidak berlanjutan sehingga memberikan gambaran negatif ke atas sistem pendidikan negara.

8. Pihak lajnah juga merasakan bahawa mereka yang mahir dalam bidang pendidikan seperti guru-guru berpengalaman, pakar IT, NGO pendidik, pihak PIBG serta mereka yang berpengalaman dalam PdP dalam talian akan memberi kerjasama yang terbaik bagi melancarkan lagi program PdPR ini, bak kata pepatah ‘Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’.

Dr. Ahmad Fakhruddin bin Fakhrurazi
Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat
24/1/2021