Home Berita PAS Melaka

Aduan rakyat : Air pasang dan ombak besar ancam struktur sepanjang Pantai Sungai Tuang

681
SHARE

Oleh : Zul Sham Mahat

MASJID TANAH, 20 Okt : Fenomena air pasang laut sejak akhir-akhir ini sangat membimbangkan kerana menyebabkan berlakunya hakisan ombak yang mengakibatkan kerosakan alam sekitar serta harta benda yang ada berhampiran dengan kawasan Pantai Sungai Tuang dan pantai-pantai berhampiran.

Sekiranya berterusan dengan fenomena ombak besar ini dikhuatiri akan mengakibatkan kemusnahan struktur chalet-chalet dan juga rumah-rumah yang berdekatan dengan kawasan pantai ini.

Pengerusi Pengusaha Chalet dan Resort Bumiputera Melaka, Haji Zakaria Othman, 57, berpendapat selain fenomena air pasang dan ombak besar ini ada faktor lain lagi yang memburukkan lagi keadaan ini.

Zakaria berpendapat kewujudan terowong bawah laut yang telah dibina oleh Stesen Janakuasa Elektrik Telok Gong Power Panglima Sdn Bhd beberapa tahun lalu telah menambah ketinggian paras air laut di kawasan pantai ini.

“Apa yang kita bimbangkan ialah fenomena ini boleh menyebabkan berkurangnya kedatangan pelancong ke sini pada masa akan datang sekiranya banyak berlaku kerosakan pada bangunan-bangunan chalet yang ada di sepanjang Pantai Sungai Tuang ini.” ujar beliau bimbang.

Tambah beliau lagi, kerja penanaman paip di dasar laut itu mengakibatkan hakisan pantai yang teruk berlaku sepanjang pantai yang jelas dapat dilihat pada pantai sepanjang Sungai Kertah.

“Hakisan pantai bila berlaku terpaksa kerajaan membelanjakan ribuan ringgit bagi menambak pantai dengan batuan besar.

“Semalam pun kita boleh tengok pokok besar tumbang di Pantai Telok Gong akibat daripada air pasang besar ini.” kata beliau lagi.

Sementara itu, AJK Masjid Aminin Sungai Tuang, Ismail Taridi, 60, pula berkata, hakisan ombak itu kini sudah menghampiri tembok Sungai Tuang dan mungkin dalam sedikit masa lagi akan mula menghakis tembok di belakang masjid ini.

Beliau yang juga AJK kebersihan Masjid Sungai Tuang itu menambah sekiranya sesuatu tidak dilakukan untuk mengatasi masalah ini tembok masjid ini juga mungkin akan pecah.

Ketika tinjauan dibuat semalam, Wartawan Rakyat Melaka (WARM) berkesempatan melihat sendiri kerosakan yang berlaku dan mengambil beberapa foto yang menunjukkan kerosakan yang berlaku.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)