Home Berita PAS Sarawak

Tuan Hj. Jais Antara Pelopor Dalam Sistem Pendidikan Anak Vaie Jepak

1209
SHARE


Oleh: Zharudin Narudin

Dalam siri pertama yang lalu, saya telah mencerita sedikit latar belakang Almarhum Tuan Hj Jais Bin Rasap yang juga merupakan moyang saya. Sungguh namanya tidak tercatat di mana-mana catatan formal di Bintulu atau di Negeri Sarawak sendiri, namun saya cuba kumpulkan segala usaha beliau terutama sumbangannya dalam pendidikan awal serta kesan ke atas pendidikan Islam itu sendiri khususnya di Kampung Sebuan Besar.

Saya kumpulkan kesan usaha, kisah benar dari amalan kehidupan dan bukti daripada anak-anak muridnya sendiri sebagai penelitian kepada jasa dan sumbangan beliau di dalam membentuk masyarakat yang cintakan ilmu demi mengenali sang pencipta iaitu Allah S.W.T. Saya juga akan membawa pembaca kepada suasana persekitaran pada ketika itu untuk lebih memghayati kekuatan sistem pendidikan Islam itu yang berjaya memisahkan kejahilan dan kepandaian dalam sistem sosial masyarakat.

1. Lewat 1960an Bintulu masih lagi di dalam bahagian Miri dari sudut pentadbirannya termasuklah Hal Ehwal Agama Islam masyarakat Bintulu. Orang Vaie sendiri dari nasab keturunan yang terawal menerima Islam di Bintulu mengikut catatan Brunei. Di Bintulu sendiri kampung-kampung awal orang Vaie adalah di sekitar sungai Sebezau (Sibiew) dan Kampung Jepak sendiri. Satu-satunya Masjid ketika itu yang menjadi pusat ilmu bagi masyarakat Vaie adalah Masjid Daerah Bintulu yang terletak di Kampung Masjid. Orang-orang Jepak yang hendak memunaikan solat terutama solat Jumaat akan menyeberang sungai Kemena menggunakan perahu persendirian. Di Jepak hanya Almarhum Tuan Hj Jais yang disebut sebagai “Guruk” dalam bahasa Vaie yang bermaksud Tuan Guru adalah salah seorang pendidik yang mengajar ilmu agama di Jepak selain Tuan Hj Tuah Mokti atau lebih dikenali sebagai Tuan Atib (sebutan Vaie) atau Tuan Khatib. Sistem jaringan pendidikan di Jepak dibina oleh dua insan ini. Murid-murid yang belajar dengan Almarhum Tuan Hj Jais setelah khatam asas Solat sebagai contoh akan melalui ujian secara lisan dan amali yang akan di nilai oleh Tuan Khatib di rumah beliau yang sekarang terletak di hadapan Surau Darul Iman Sebuan Kecil. Dari sudut hubungan kekeluargaan juga mereka berdua adalah bersaudara antara satu sama lain dan menuntut Ilmu bersama, bezanya Tuan Khatib secara formal dilantik oleh Jabatan Agama sebagai orang yang berautoriti untuk mengajar mengikut sistem pentadbiran kerajaan pada ketika itu walaupun masyarakat akan pergi kepada Tuan Hj Jais untuk menuntut ilmu. Namun Thiqah dan kerendahan hati kerana ilmu oleh Almarhum Tuan Hj Jais ini jelas terpancar apabila beliau sendiri akan memberi kepercayaan dan penghormatan untuk Tuan Khatib melaksanakan tasmik, ujian lisan dan amali ilmu yang diperlajari seperti ilmu fardu ain. Salah seorang anak murid yang pernah belajar dengan Almarhum Tuan Hj Jais adalah Almarhum Tuan Hj Dollah bekas Imam Masjid Kampung Jepak.

2. Kaedah pembelajaran atau kurikulum yang diguna pakai oleh Almarhum Tuan Hj Jais pada ketika itu adalah menyeimbangkan antara teori dan amali. Sebagai contoh kelas beliau adalah bermula dari Solat Subuh sehingga Isya dan dilaksanakan selepas solat fardhu ini. Secara tidak langsung beliau memastikan semua anak-anak murid beliau hadir solat berjemaah di kediamannya sendiri kerana pada ketika itu Surau belum terdapat lagi di Kampung Jepak. Kediamannya di Kampung Sebuan Besar itulah sebagai pondok pengajiannya dan menurut ayahanda dan bonda saya yang juga merupakan anak muridnya, ramainya anak muridnya itu sehingga penuh kediamannya ketika itu kerana hendak belajar ilmu agama. Bukan sahaja kerana ilmu, namun akhlak beliau yang berjaya menarik perhatian sesiapa sahaja bertemu dan sebagai rujukan kepada permasalahan agama pada ketika itu. Hal ini berlaku pernah dilihat oleh ayahanda saya sendiri yang merupakan pembantu khas beliau iaitu sebagai pemandunya setiap kali solat Jumaat dengan menyeberang sungai kemena ke Masjid Bintulu, melihat apabila selesai atau sebelum solat Jumaat ramai para Jemaah mendatangi beliau bukan sahaja untuk bertanyakan ilmu tetapi juga bercerita kerana senangnya untuk mereka berdamping disamping sifatnya yang rendah diri. Rendah diri nya beliau adalah sehingga tidak mahu di iktiraf oleh mana-mana pihak atau dilantik dengan apa-apa jawatan dan hanya mahu mengajar dan tidak mahu diingati jasanya. Inilah juga yang menyebabkan banyak bahan sejarah berkaitan beliau terbatas.

3. Keseriusannya dalam ilmu ini tiada sempadan, sehingga ke akhir hayatnya masa sehariannya adalah dengan mengajar. Betapa sebatinya kehidupannya dengan ilmu dan cintanya beliau kepada Tuhan itu yang menjadikan dirinya insan yang sangat tawadhuk, rendah diri, dan beesungguh-sungguh dalam sesuatu dan hanya melihat Allah sahaja matlamat kehidupannya. Ini dapat dilihat, kisah doanya untuk menunaikan haji pada tahun 70an dimakbulkan oleh Allah S.W.T. Beliau selalu menyebut, beliau akan menunaikan Haji sekiranya ada orang yang membeli tanahnya. Pada ketika itu agak sukar untuk mencari orang yang membeli tanah dan sangat jarang didengari untuk orang tempatan dengan mudah menjual tanah untuk semata-mata menunaikan Haji. Siapa sangka hajatnya tertunai. Generasi kemudian selepasnya juga mengikut jejak beliau dengan berani berkorban harta untuk ke Tanah Suci.

4. Di Jepak dalam awal 1960 sehingga akhir 1970an agak berkembang ilmu hitam atau sihir yang mungkin sesekali pernah didengari dari cerita oleh sesiapun sahaja yang datang ke Bintulu bahkan cerita ini menular sehinga ke Semenanjung Malaysia akan hebatnya ilmu sihir orang Jepak yang berani sehingga tahap membunuh. Sesiapa sahaja tidak berani untuk datang dan masuk ke Jepak dek kejahilan sesetengah masyarakat yang mengamalkan ilmu ini pada ketika itu jelas apabila kerana isu-isu kecil dan remeh mereka saling menganiayai antara satu sama lain seperti isu seseorang menegur misai seorang yang lain yang senget sebelah atau kerana cinta ditolak dan nekadnya pengamal ilmu hitam ini sehingga makanan ketika kenduri juga diletak sihir demi untuk membalas dendam. Bahkan polong dimainkan bagai pesta di Jepak pada ketika itu dan dapat dilihat cahaya api yang berkelip-kelip melintasi sana sini hanya untuk menguji ilmu mereka. Almarhum memisahkan anak-anak dan cucu keturunannya untuk tidak terlibat dengan perkara khurafat ini, ilmu agama itulah benteng utama dalam menempis larangan agama ini. Sebab itu juga, strateginya mengumpulkan anak cucunya berdekatan dengan kediaman beliau dilihat berkesan untuk dia sendiri menjaga kegiatan anak cucunya.

5. Hafalan yang kuat menjadi prasyarat lulus ujian. Sistem pendidikan Almarhum menitik beratkan hafalan. Menakjubkan! Tidak seorang pun anak muridnya pandai ilmu agama tanpa menghafal. Hal ini juga berlaku kepada Moyang perempuan saya yang mengajar bab Aqidah yang mengajar dengan hafalan satu persatu ayat dari kitab-kitab yang diperlajari mereka. Di zaman kita sekarang hampir tidak ada yang menghafal kitab dan disebut satu persatu ayat seperti di dalam kitab asal. Subhanallah! Sistem inilah yang berjaya menjadikan anak muridnya tidak perlu membawa buku dan alat tulis dan hanya menghafal.

Kekurangan fakta saya dalam penyusunan jasa Almarhum ini adalah rekod guru-guru beliau. Setakat yang di kenal pasti adalah Tuan Hj Ambon dan beberapa kumpulan dari Kuching Sarawak. Jika di teliti, pada era tersebut kita boleh dapati di kuching juga ada beberapa nama besar Tuan Guru yang mengajar agama di Bintulu antaranya Tuan Guru Dato Hakim Hj.Morshidi. Tidak mustahil jaringan keilmuan ini ada kerana faktor pendidikan Agama Islam di Sarawak pada ketika itu juga dalam sekala kecil dan berkelompok

Ternyata ilmu yang sangat dititik beratkan oleh agama kita seperti mana ayat pertama yang diturunkan kepada Nabi S.A.W di Gua hira’ yang mana ilmu agama itu akan berjaya menyelamatkan manusia dari kehidupan yang jahil di dunia ini. Itulah ilmu yang boleh memberi kesenangan di dunia ini dan akhirat dan itu jugalah ilmu yang memberi kejayaan kepada manusia kerana mereka akan mengenali Tuhannya.

{jathumbnail off}