Home Berita Dewan Ulamak PAS Pusat

Transkrip Penuh: Amanat Khas Presiden PAS Kepada Jentera Pilihan Raya

4376
SHARE

Transkrip Penuh: Amanat Khas Presiden PAS Kepada Jentera Pilihan Raya

Oleh: Asmaa Yusof

Allah SWT berfirman:

(يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ)

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan) dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan) dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan)”
[Surah Ali-Imran: Ayat 200]

Kepada saudara-saudara petugas PAS dan semua pembantu dan pemerhati PAS, marilah kita baca kisah-kisah penutup Surah Ali-Imran, surah Madaniyyah, surah yang diturunkan di Madinah ketika umat Islam menghadapi cabaran yang hebat. Surah ini di dalamnya disebut kisah peristiwa Perang Badar, umat Islam diberi kemenangan oleh Allah SWT dalam keadaan jumlah yang sedikit, persediaan yang ada tidak sebanyak yang ada pada musuh.

Disebut juga peristiwa Uhud dengan jumlah orang Islam lebih besar. Ujian yang sangat hebat apabila sebahagian daripada mereka yang berada dalam kumpulan Islam kalangan munafik dan lemah iman. Keluar daripada pasukan, menyeleweng dan terpesong. Sebahagian lagi meneruskan perjuangan.

Allah SWT mengurniakan Uhud dengan kemenangan berpihak kepada Islam kemudian apabila sebahagian daripada mereka tidak mengikut arahan kepimpinan Nabi Muhammad SAW; yang mengatur mengikut strategi yang tepat, menyebabkan mereka terpukul dengan berlaku terbunuhnya para Syuhada’, kecederaan termasuk pada diri Nabi Muhammad SAW.

Dua peristiwa ini ditunjuk oleh Allah SWT dengan ayat yang dibaca tadi supaya pejuang-pejuang Islam beriman dan yakin kepada perjuangannya iaitu menegakkan kemenangan Islam yang adil, rahmah dan baik untuk semua; dijanjikan pahala dan kemenangan oleh Allah SWT dengan syarat mereka beriman kepada perjuangan Islam. Inilah asas penubuhan Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Kita tetap beristiqamah bersama dengan Islam, menjadi parti politik dengan gagasan baru, tidak bersama dengan Barisan Nasional (BN), tidak bersama dengan Pakatan Harapan (PH). Mengapa tidak bersama dengan BN? Kita pernah dengan BN tahun 70-an. Kerajaan yang memerintah mempunyai kewangan yang cukup, di dalamnya berlaku kelemahan dan kebocoran.

Banyak halangan untuk melaksanakan agenda perjuangan kita. Kita bersendirian dan mengadakan tahalluf, persefahaman dengan pakatan rakyat yang ada di dalamnya ialah kalangan yang meninggalkan UMNO, kalangan DAP dan lain-lain.

Apabila kita menyaksikan agenda Pakatan Rakyat tidak menepati agenda Islam, samaada ada di dalamnya kalangan yang menentang Islam secara nyata dan terang seperti DAP, ada kalangan yang tidak berani dan tegas menyatakan Islam, maka PAS terpaksa mengadakan gagasan sendiri menumpukan pendekatan baru Gagasan Sejahtera yang menghimpunkan bukan sahaja ahli-ahli PAS yang setia dan taat, yang lama, yang baru menyertai PAS termasuklah kalangan yang bukan Islam, kalangan parti politik yang ditubuhkan yang tidak menentang agama Islam.

Maka marilah kita bekerja dengan penuh ikhlas dan yakin kerana Allah S.W.T untuk menyelamatkan Islam, membangunkan diri dengan Iman dan budiman, akhlak yang mulia. Allah S.W.T menunjukkan kisah yang banyak di dalam al-quran walaupun kita mempunyai kelengkapan duit, harta benda yang banyak tetapi tidak memperjati diri dengan Islam, membangun shahsiah dengan cara yang sebaik-baiknya, akan menghadapi kegagalan.

Maka Allah meletakkan agenda yang pertama, beriman seterusnya bersabar. Bersabar dalam menghadapi ujian dalam diri sendiri. Ujian kesusahan, kepayahan, kalangan keluarga sendiri, ujian dalam jemaah sendiri. Ada yang bekerja dengan semangat, dengan baik maju kedepan, ada yang sederhana dan ada yang lemah (dhaif) menzalimi diri sendiri dalam kumpulan kita sendiri. Kita bersabar menghadapi karenah-karenah ini dalam diri kita, keluarga kita, jamaah kita yang dianggap melemahkan perjalanan perjuangan Islam. Namun kita tidak boleh menyebabkan terpisah di antara satu sama lain. Mesti menguatkan saff, menguatkan kumpulan kita dengan jati diri yang kuat.

Yang kedua, bersabar menghadapi musuh dan lawan kita yang mempunyai jumlah yang besar, mempunyai harta yang banyak, kelengkapan yang banyak. Allah SWT memerintah supaya kita menyediakan kekuatan sekadar kemampuan kita.

Firman Allah SWT:

(وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ)

“Dan bersedialah kamu sekadar kemampuan kamu dengan kekuatan.”

[Surah Al-Anfal: Ayat 60]

Samaada kekuatan yang ada daripada jumlah pengikut kita, sekadar yang ada walaupun sedikit, walaupun tidak ada sebanyak yang ada pada musuh. Ataupun menyediakan kewangan sekadar kemampuan yang ada pada kita. Allah SWT mengetahui apa yang tersembunyi dan tersirat. Sekiranya kita menyediakan kekuatan sekadar kemampuan yang ada pada kita, kita boleh menghadapi musuh yang lebih besar, musuh yang lebih banyak, musuh yang lebih lengkap. Kita pernah menang di Kelantan, pernah menang di Terengganu, pernah menang di Kedah sekadar kekuatan yang ada.

Allah SWT mesti beri kemenangan kepada kita dengan syarat kita bersabar menghadapi musuh yang lebih besar dalam masa yang sama menghadapi kejahatan, fitnah, tingkah laku yang buruk yang diadakan oleh lawan-lawan kita. Mesti bersabar. Kalau kita mengalami kesusahan di dalam perjuangan, lawan kita juga mengalami kesusahan dalam menentang kita.

Firman Allah SWT:

(وَلَا تَهِنُوا فِي ابْتِغَاءِ الْقَوْمِ ۖ إِنْ تَكُونُوا تَأْلَمُونَ فَإِنَّهُمْ يَأْلَمُونَ كَمَا تَأْلَمُونَ ۖ وَتَرْجُونَ مِنَ اللَّهِ مَا لَا يَرْجُونَ ۗ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا)

“Dan janganlah kalian merasa lemah dalam menghadapi mereka, jika kalian merasa sakit (dalam berjuang), maka sesungguhnya mereka pun merasakan sakit pula (sebagaimana kamu menderita), tetapi kalian mengharapkan sesuatu dari Allah apa saja yang tidak mereka harapkan. Sesungguhnya Allah Mahamengetahui lagi Mahabijaksana.”

[Surah An-Nisa’: Ayat 104]

Kita mengharapkan pahala, fadhilat, kelebihan dunia dan akhirat yang dijanji oleh Allah SWT. Kemenangan dunia dan kemenangan di hari akhirat.

Kita berani berkata demikian kerana perjuangan kita perjuangan Islam, perjuangan mengikut Al-Quran dan sunnah, dipimpin oleh kepimpinan ulamak. Kita yakin parti lain tidak berani bercakap macam kita boleh cakap. Kita yakin dengan kelebihan itu, dan perjuangan kita adalah Islam dan kita tidak berganjak dan terbuka mentyatakan Islam kita seterusnya Allah menyuruh kita ribath. Ribath dengan makna bertugas di tempat masing-masing.

Asal perkataan ribath ini ialah berada di perbatasan, dalam khemah, menjaga sempadan, bertugas, meninggalkan keluarga. Ulamak menafsirkan ribath ini dengan makna kita bertugas dimana sahaja kita diletakkan samaada jadi ketua, jadi calon, jadi pemimpin, anggota penerangan, jentera kempen, pengibar bendera, penampal poster, menjaga markas, ini adalah ribath; bertugas di tempat masing-masing di mana banyak hadis-hadis yang menyatakan kelebihan ribath ini diantaranya Sabda Nabi Muhammad SAW maksudnya “Kamu berada satu hari dalam melakukan tugas untuk memperjuangkan Islam lebih baik daripada dunia dan isinya.”

Disebut dalam hadis yang lain, barangsiapa meninggal dunia di tempat ribath menjalankan tugas, tidak seperti amalan lain. Bila meninggal dunia, terputuslah amalan. Tetapi kelebihan bertugas, ribath ini, Allah SWT panjangkan pahalanya berterusan sehingga berlakunya hari kiamat. Tidak ada kelebihan ini melainkan mereka yang berada dalam perjuangan Islam. Kita bersyukur kepada Allah Taala kerana kita berada dalam perjuangan Islam.

Yang menentukan kemenangan ialah pertolongan daripada Allah SWT. Walaupun ada sebab-sebab manusia, tetapi pertolongan Allah lebih penting daripada segala-galanya. Dengan itu, Allah Taala menyuruh kita bergantung kepadanya supaya bertaqwa kepadaNya dengan mengikut segala perintahnya dan meninggalkan segala laranganNya.

Taqwa ini dipesan oleh Nabi SAWdalam tiap-tiap khutbahnya; khutbah Jumaat, Khutbah Hari Raya, dan ucapan biasa dalam keadaan menghantar pasukan untuk ditugaskan sehingga Umar Al-Khattab RA bila menugaskan Saad bin Abi Waqas menjadi pemimpin pasukan Islam untuk menghadapi empayar Parsi, walauopun itu Saad bin Abi Waqas adalah sahabat yang dijanjikan syurga oleh Nabi Muhammad SAW, sahabat yang besar namun Saidina Abu Bakar berpesan, Wahai Saad! Aku berpesan kepada kamu dan dan pasukan anggota yang berada bersama dengan kamu supaya bertaqwa kepada Allah kerana Allah SWT menolong kita sebab maksiat yang dilakukan oleh musuh.

Sekiranya kita juga sama-sama melakukan maksiat macam lawan kita, maka Allah SWT tidak menolong kita. Musuh lebih banyak daripada kita, lebih kaya daripada kita, lebih lengkap daripada kita menyebabkan kita tak dapat pertolongan Allah dan menemui kekalahan dengan sebab kelemahan itu.

Jangan kamu kata, kita lebih baik. Perjuangan Islam, dengan Nabi, kita mesti dapat kemenangan dalam keadaan kita mengerjakan maksiat kerana Allah SWT pernah mengajar kaum Bani Israel yang paling ramai Rasul dan Nabi bila mereka mengerjakan maksiat, mereka dikalahkan, menghadapi ujian yang getir dan dahsyat.

Cukup bagi kita dengan pengalaman perjuangan kita dan kisah yang ditunjuk oleh Allah SWT. Percayalah sekiranya kita memenuhi syarat-syarat kemenangan, jati diri, kelengkapan persediaan mengikut kemampuan kita, dengan beriman, bertaqwa kepada Allah SWT, kita mendapat kemenangan yang dijanjikan oleh Allah SWT di dunia dan di hari akhirat.

Kemenangan pemberian daripada Allah. Allah SWT tidak bertanya mengapa kita tidak menang, Allah SWT bertanya, kita beramal ataupun tidak. Yang penting tunaikan amal itu dengan niat yang ikhlas, nawaitu yang betul LillahiTa’ala selepas itu InsyaAllah Allah Ta’ala menunaikan janjiNya, Allah Ta’ala tidak pernah mungkir janji samaada di dunia dan akhirat. Percayalah, kita boleh menang dengan janji Allah di dunia dan hari akhirat.

*Transkrip ini telah ditaip semula oleh saudari Asma Yusof.