TOLAK POLITIK RASIS DAN SERANGAN PERIBADI
1. Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi Pakatan Harapan dalam ceramah Himpunan Antikleptokrasi di Padang Timur, Petaling Jaya pada minggu lepas mengungkit mengenai keturunan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berbangsa Bugis dan melabel Bugis sebagai lanun adalah kenyataan yang tidak boleh diterima oleh masyarakat.
2. Tun Dr Mahathir seakan melepaskan dendam kesumatnya terhadap Perdana Menteri setelah beliau dihina dan diaibkan mengenai keturunannya beberapa bulan lepas. Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu ucapan pernah membongkarkan kad pengenalan milik Tun Dr Mahathir dengan mendedahkan identiti sebenar beliau sebagai “Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty”. Satu Malaysia heboh dengan kenyataan itu dan menganggap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid sebagai biadap dan berniat jahat. Tidak ada pihak yang menerima kenyataan TPM itu yang merendah-rendahkan individu lain demi meraih kepentingan politik dirinya.
3. Tetapi apa yang dikesalkan adalah penyokong Pakatan Harapan dan pemimpin yang hadir pada malam itu tidak sedikit pun menegur sikap biadap bekas PM itu kerana melontarkan penghinaan ke atas pemimpin negara. Ketika Tun Dr Mahathir dihina oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan kenyataan perkauman, pemimpinnya bangkit menyatakan kemarahan. Ada laporan polis, ada usaha mengangkatnya sebagai usul tergempar di Parlimen, kenyataan yang mengutuk balas dan lain-lain lagi. Namun ketika Tun Dr Mahathir pula mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan menghina keturunan PM pula, mereka diam membisu. Apakah hukum penghinaan boleh diterjemah dalam dwi tindakan, untuk pemimpin mereka – ya itu satu penghinaan, tetapi jika pemimpinnnya menghina – itu bukan menghina!
4. Politik Malaysia kelihatan hodoh apabila sentimen perkauman, keturunan dan bangsa mengambil tempat dengan tindakan ejek mengejek dan menghina antara satu sama lain. Rakyat melihat pemimpin kekeringan idea dalam pembangunan negara sehingga menjadikan isu peribadi termasuk keturunan sebagai bahan jenaka dan kutukan. Pemimpin seperti ini adalah pemimpin yang tidak ada akhlak dan tidak menghargai keharmonian serta perpaduan kaum di negara ini. Mereka adalah pemecah belah keutuhan ummah dengan usaha memercikkan api kemarahan bangsa dan kaum tertentu agar rakyat berpecah.
5. Tindakan Tun Dr Mahathir merendahkan dirinya sendiri sebagai seorang negarawan yang dihormati di dalam dan luar negara. Beliau memperlihatkan sikap terdesak untuk menjatuhkan Perdana Menteri sehingga menggunakan apa sahaja senjata yang ada untuk dihalakan ke atas musuh politiknya. Rakyat juga merasakan semua gerak langkahnya kini lebih kepada dendam peribadi kepada Perdana Menteri daripada memperjuangkan rakyat dan negara.
6. Beliau kini menanggung akibat dari ketelanjuran dan keceluparannya itu. Satu demi satu laporan polis, kenyataan balas, menghina dan merendahkan dirinya keluar dari pemimpin bawahannya atau pihak lain. Silap beliau kini, bukan sahaja pelurunya tidak tepat ke sasarannya, malah tersasar dan mengena banyak pihak. Tidak ada cara bagi meredakan kemarahan banyak pihak ke atasnya, melainkan memohon maaf atas kenyataannya itu dan tidak menjadikan kenyataan itu sebagai senda gurau. Ia juga sebagai peringatan paling tepat kepada semua ahli politik, agar menjauhi sentimen perkauman, bangsa dan keturunan jika mahu menang dalam PRU ke 14.
DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat
19 Oktober 2017
Foto: Lensa Haraki