Home Berita PAS Pusat

Tok Kenali: Pembangkit Umat Islam

3658
SHARE

RAMADHAN DAN PERJUANGAN ~ 1441

Siri 14

TOK KENALI: PEMBANGKIT UMAT ISLAM


PERJANJIAN Bangkok yang berlaku pada 1909M antara Inggeris dan Siam telah menyebabkan empat buah negeri di utara, termasuk Kelantan menjadi naungan British. Sebenarnya, sejak Perjanjian Inggeris-Siam 1902M, seorang pegawai Inggeris, W.A Graham telah dilantik sebagai Penasihat Siam di Kelantan mulai 1904M. Sejak itu, sebahagian besar struktur pentadbiran Islam dan perlaksanaan syariat yang terbangun sekian lama telah dirombak. Undang-undang Islam dan mahkamah syariah dipencilkan, bidang kuasa agama hanya dalam urusan ibadat dan kekeluargaan sahaja dan pentadbiran kerajaan mula mengalami sekularisasi.

British dan Siam mengambil kesempatan di atas kemangkatan Sultan Mansor pada 1900M, dengan tidak mengiktiraf Long Kundur ibni Sultan Mohamad III sebagai Sultan Kelantan. Baginda hanya bergelar Raja Kelantan sahaja. Raja Kelantan diberikan tekanan supaya menerima Penasihat Siam, merombak pentadbiran awam, menstrukturkan semula pentadbiran agama, dan akhirnya dipaksa menerima Perjanjian Bangkok yang menyerahkan Kelantan di bawah naungan Inggeris. Untuk mendapat pengiktirafan terhadap kedudukan baginda sebagai sultan, Long Kundur terpaksa bersetuju, walaupun para pembesar tidak berpuas hati. Pada 1910M, baharulah Long Kundur diiktiraf sebagai sultan bergelar Sultan Mohamad IV. Baginda memerintah dari 1900M hingga 1920M.

Di sebalik kerakusan Penasihat Siam dalam mengambil kesempatan di atas kelemahan Raja Kelantan, para pembesar tidak berdiam diri. Pembesar yang terpenting ialah Nik Mahmud Ismail, Setiausaha Sulit Sultan Kelantan begelar Dato’ Bentara Setia. Beliau menggunakan kedudukannya untuk memanfaatkan ‘abang sepeguruannya,’ Tok Kenali yang baru pulang ke Kelantan pada 1911M untuk membantu mengukuhkan semula umat Islam yang sedang diancam oleh kerakusan British. Tok Kenali boleh dikatakan menjadi rujukan utama Dato’ Bentara Setia dalam melakukan pembaharuan di Kelantan.

Menghadapi Dasar-dasar British

Kemasukan pengaruh British di Kelantan bermula 1904M sebagai wakil Siam, kemudian mulai 1910M, Kelantan telah dinaungi sepenuhnya oleh British. British telah bertindak merombak pentadbiran jajahan (daerah) dengan mewujudkan empat jajahan dan melucutkan kuasa pembesar tradisional sehingga menimbulkan kemarahan mereka. Dalam pentadbiran undang-undang, British telah menurunkan taraf undang-undang jenayah syariah dan juga mahkamahnya lalu diwujudkan undang-undang sivil British dan mahkamah sivil. British turut memperkenalkan sekolah vernakular Melayu pada 1904M ketika sistem pendidikan pondok begitu berpengaruh di Kelantan. Perubahan-perubahan ini memberi kesan yang besar kepada Kelantan sebagai sebuah negeri Serambi Mekah.

Sebagai pegawai kanan yang berpengaruh, Dato’ Bentara Setia telah membawa masuk Tok Kenali ke dalam kumpulan pemikirnya dalam menghadapi perubahan yang dibuat oleh British. Tok Kenali walaupun tidak berjawatan dalam kerajaan pada peringkat awal, tetapi telah membawa beberapa gagasan penting bagi menghadapi dasar-dasar British. Beliau memberikan tumpuan untuk mengukuhkan semula kedudukan Islam di Kelantan. Bagi tujuan itu, Tok Kenali mengemukakan cadangan penubuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) pada 1915M. Melalui MAIK, Tok Kenali telah berjaya menjadikan Masjid Muhammadi sebagai pusat pengajian tinggi Islam seperti Masjidil Haram, menubuhkan Sekolah MAIK, mewujudkan percetakan Matba’ah MAIK dan menerbitkan majalah Pengasoh.

Dengan penubuhan MAIK juga, Tok Kenali mula terlibat secara langsung dalam pentadbiran kerajaan, khusus melalui MAIK. Beliau dilantik sebagai anggota MAIK pada akhir 1915M, kemudian menjadi Pengarah Pelajaran MAIK, selain mengetuai redaksi Pengasoh. Gagasan dan pemikiran beliau banyak disalurkan kepada kerajaan melalui semua kedudukan ini, terutama setelah Dato’ Bentara Setia dilantik sebagai Dato’ Perdana Menteri Kelantan (Menteri Besar) pada 1921M dan penyertaan Dato’ Laksamana Mohamed Mohd Said dalam pentadbiran kerajaan selaku Setiausaha Kerajaan. Gandingan tiga tokoh ulamak dalam pentadbiran Kelantan ini boleh dianggap sebagai pengimbang terhadap kuasa Penasihat British di Kelantan.

Tok Kenali: Pemikir Terbesar Kelantan

Tok Kenali atau nama sebenarnya, Mohamad Yusof bin Ahmad adalah tokoh yang dilahirkan di Kampung Kenali, Kubang Kerian, Kelantan pada 1868M. Ayahnya berasal dari Chaiya, Ligor, tetapi ibunya berasal dari Kelantan. Setelah mendapat pendidikan awal di Kelantan, terutama di bawah didikan Qadhi Haji Ismail (ayah Dato’ Perdana Nik Mahmud) dan Tok Wan Ali Kutan, beliau ke Mekah pada 1887 dan berguru dengan Sheikh Wan Ahmad al-Fathani lebih 20 tahun sehingga gurunya wafat pada 1908. Beliau juga pernah dibawa oleh guru ke Mesir untuk meluaskan pengalamannya, terutama dalam hal politik dan pemikiran pembaharuan Islam. Kewafatan Sheikh Wan Ahmad itulah yang membawanya kembali ke Kelantan pada 1911M.

Ketika berada di Mekah, Tok Kenali terlibat secara langsung dengan seluruh kegiatan gurunya sebagai ulamak dan murabbi, sebagai pegawai tinggi Khikafah Othmaniyah, sebagai pentashih kitab dan pegawai percetakan, pemimpin Jam’iyat al-Fathaniyah dan juga sebagai perunding kerajaan. Tok Kenali menyedari perubahan yang berlaku di Istanbul dan kegiatan British untuk menaja penubuhan negara haram Israel dan menggulingkan Khalifah Sultan Abdul Hamid II di Istanbul. Gagasan Pan Islamisme yang dikemukakan oleh Sultan Abdul Hamid II dan penglibatan Othmaniyah dalam Perang Dunia Pertama, 1914-1918M diikuti sepenuhnya oleh Tok Kenali. Atas sebab itu, Tok Kenali bukan hanya seorang ulamak, tetapi juga seorang pemikir dan ahli politik yang tajam pada zamannya.

Membangunkan Semula Bangsa

Peranan Tok Kenali dalam dunia keilmuan dan dakwah Islam adalah sangat besar, bahkan telah meletakkan beliau sebagai ilmuan terkemuka dan terbesar di Kelantan pada abad ke-20M. Namun begitu, yang jarang disedari oleh orang ramai ialah sumbangan beliau dalam membentuk kesedaran umat Islam setelah dijajah oleh Barat sejak 1904M. Di antara sumbangan besar Tok Kenali ialah:

I. Pergerakan politik umat Islam

Tindakan Tok Kenali menubuhkan Jam’iyat al-‘Asriyah di Kota Bharu pada akhir 1915M telah membangkitkan semula semangat politik orang Kelantan setelah terkejut dengan Musuh Tok Janggut pada April 1915M. Ia adalah kelab politik yang terawal di Kelantan. Setelah itu, muncul kelab-kelab politik seperti Kelab Putera, Setiawan Belia, Dewan Bahasa Melayu, Persatuan Suara Muda dan lain-lain. Pada 1936M, muncul pula Jabhah Diiniah Islamiyah sebagai pergerakan ulamak. Daripada badan-badan ini munculnya parti politik. Ternyata para aktivis badan-badan ini menjadi pelopor kepada penubuhan Hizbul Muslimin di Kelantan pada 1948M, diikuti oleh PAS pada 1953M.

II. Pendidikan agama moden

Tok Kenali termasyhur kerana Pondok Kenalinya, tetapi beliau melihat lebih ke hadapan. Lalu menubuhkan Sekolah Majlis pada 1916M untuk menyaingi sekolah vernakular yang diperkenalkan di Kelantan sejak 1904M. Hasilnya, bukan sahaja muncul sekolah-sekolah agama yang baru, bahkan pondok-pondok juga membuka kelas nizami mereka. Dari Sekolah Majlis itu, telah muncul Jamik Merbau Ismaili sebagai sebuah universiti pada 1944M, kemudian hari ini menjadi sekolah terkemuka di Malaysia, Maahad Muhammadi yang telah melahirkan ramai tokoh.

III. Pembaharuan pentadbiran agama

Penubuhan MAIK pada akhir 1915M adalah pembaharuan terbesar dalam pentadbiran agana Islam di Tanah Melayu. MAIK adalah majlis agama yang pertama ditubuhkan di Malaysia untuk mengendalikan pentadbiran agama termasuk fatwa, pendidikan, pengurusan zakat, penerbitan dan sebagainya. Selepas Kelantan, negeri lain turut berbuat demikian dan kewujudan majlis agama masing-masing yang merupakan tunjang pentadbiran agama di setiap negeri.

IV. Percetakan dalam penyebaran ilmu

Matbaah atau percetakan yang ditubuhkan oleh MAIK telah menjadi tenaga baru dalam membina kebangkitan ummah kerana sebelum ini buku-buku agama ditulis atau disalin dengan tangan. Dengan adanya percetakan, maka proses penyebaran ilmu berlaku dengan lebih meluas sehingga dapat mencelikkan umat. Setelah itu, muncullah percetakan seperti Matbaah Miriyah Kota Bharu, Matbaah Maarif dan lain-lain.

V. Penerbitan Pengasoh sebagai pembangun minda

Ketika Pengasoh diterbitkan pada 1918M, Tok Kenali diberikan kepercayaan sebagai Pengarangnya. Jawatan ini dipegang sehingga beliau wafat pada 19November 1933M. Melalui majalah ini, pemikiran-pemikiran tentang pembaharuan, masalah umat, tuntutan agama dan sebagainya telah dikembangkan sehingga wujud kesedaran-kesedaran dalam masyarakat. Pada hari ini, Pengasoh adalah majalah tertua yang masih wujud di negara ini.

Gerakan pembaharuan yang dibuat oleh Tok Kenali telah berhasil menangani perubahan yang dilakukan oleh British, di mana ketika British berusaha untuk meruntuhkan di kiri, Tok Kenali membangunkan pula di kanan. Di sebalik kerosakan yang dibuat oleh British itu, Tok Kenali telah membakar kesedaran murid-muridnya sehingga pondok-pondok bercambah dengan pesat di Kelantan. Kemudian dengan peranan murid-muridnya seperti Tuan Guru Haji Abdullah Tahir, telah berkembang pula pergerakan Islam di Kelantan. Tiada siapa yang boleh menafikan bahawa sebahagian daripada kekuatan dan kesedaran Islam yang di Kelantan pada hari ini adalah daripada air tangan Tok Kenali.

MOHD FADLI GHANI
Institut al-Balaghul Mubin
14 Ramadhan 1441 / 7 Mei 2020