Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tadabbur Al-Quran : Surah Al-Ahzab: Siri 14

1408
SHARE

??Tadabbur Al-Quran??
Surah Al-Ahzab: Siri 14

Ayat 33-34: Ketinggian Adab dan Santun Para Isteri Nabi – Menetap di Rumah dan Tanggungjawab Utama di Rumah

? Firman Allah serta terjemahannya:

وَقَرۡنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجۡنَ تَبَرُّجَ ٱلۡجَٰهِلِيَّةِ ٱلۡأُولَىٰۖ وَأَقِمۡنَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتِينَ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَطِعۡنَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥٓۚ إِنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ لِيُذۡهِبَ عَنكُمُ ٱلرِّجۡسَ أَهۡلَ ٱلۡبَيۡتِ وَيُطَهِّرَكُمۡ تَطۡهِيرٗا

Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu – wahai “AhlulBait” dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).

وَٱذۡكُرۡنَ مَا يُتۡلَىٰ فِي بُيُوتِكُنَّ مِنۡ ءَايَٰتِ ٱللَّهِ وَٱلۡحِكۡمَةِۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ لَطِيفًا خَبِيرًا

Dan ingatlah (serta amalkanlah) apa yang dibaca di rumah kamu dari ayat-ayat Allah (Al-Quran) dan hikmah pengetahuan (hadis-hadis Rasulullah). Sesungguhnya Allah Maha Halus tadbirNya, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.

? Tafsir ringkas:

1. Ayat 33 dan 34 dalam surah Al-Ahzab berkait rapat dengan ayat sebelumnya iaitu ayat 32 kerana ayat-ayat tersebut mengandungi perintah Allah kepada isteri-isteri Rasulullah SAW berkaitan pergaulan dan akhlak mereka.

2. Dalam ayat 32 yang lalu, Allah menjelaskan bahawa sesungguhnya tiada seorang wanita pun yang setara dengan isteri-isteri Rasulullah SAW dan tiada seorang wanita pun yang dapat menyamai keutamaan dan kedudukan mereka. Allah juga memerintahkan para isteri Rasulullah SAW agar menjaga adab mereka ketika bermuamalat (berurusan) dengan lelaki ajnabi.

3. Dalam ayat 33, akhlak yang digariskan adalah:

a. Menetap di dalam rumah dan keluar sekiranya ada keperluan yang bertepatan dengan syariat sahaja, contohnya menunaikan solat berjemaah di masjid. Sabda Rasulullah SAW, “Janganlah kalian melarang hamba-hamba perempuan Allah daripada masjid-masjid-Nya, dan hendaklah mereka keluar dalam keadaan berpakaian yang tertutup rapi.”

b. Menjauhi sikap wanita Jahiliyyah zaman dahulu. Iaitu apabila mereka keluar dari rumah, mereka berhias secara berlebihan (at-tabarruj) dan berjalan berlenggang-lenggok dengan langkah yang manja dan memikat. Oleh itu, wanita Islam wajib menutup aurat. Al-Bazzar mengatakan di dalam beberapa riwayat, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya (tubuh) wanita itu adalah aurat. Maka apabila wanita itu keluar, syaitan datang menyambutnya. Dan tempat yang paling dekat bagi wanita kepada rahmat Tuhannya adalah apabila dia berada di dalam rumahnya.”

4. Seterusnya Allah SWT juga memerintahkan mereka agar mendirikan solat, menunaikan zakat dan mentaati Allah dan Rasul. Dengan melakukan apa yang diperintahkanNya, dan menjauhi segala laranganNya, maka mereka akan bersih sebersih-bersihnya daripada dosa.

5. Dalam ayat 34 pula, Allah SWT mengingatkan apa yang diturunkan oleh Allah kepada RasulNya di dalam rumah mereka iaitu Al-Quran dan Sunnah. Ini merupakan suatu nikmat yang telah Allah anugerahkan kerana wahyu diturunkan di rumah mereka. Contohnya, Saidatina Aisyah RA amat bertuah kerana wahyu telah diturunkan di kamar tidurnya.

? Pengajaran:

1. Akhlak atau adab yang diperintahkan oleh Allah dalam ayat-ayat ini walaupun khusus kepada isteri-isteri Rasulullah SAW, mestilah dipraktikkan juga oleh semua muslimah.

2. Sebagai muslimah, seharusnya kita berada di dalam rumah dan keluar hanya jika ada keperluan. Pakaian yang dipakai juga perlulah menutup aurat dengan sempurna. Ketika keluar berjalan kita perlu berhati-hati dan mengelakkan diri daripada ‘mencari perhatian’ orang ramai.

3. Salah satu ujian masa kini untuk kita para muslimah adalah media sosial yang tiada batasan. Walaupun berada di dalam rumah, kita mestilah berhati-hati, menutup aurat, tidak bertabarruj dan menjaga adab ketika bermuamalat secara atas talian dengan lelaki ajnabi.

4. Didiklah diri kita dengan akhlak dan adab yang digariskan oleh Allah SWT agar diri kita terpelihara dalaman dan luaran. Janganlah kita merasakan apa yang Allah perintahkan itu sebagai suatu bebanan.

? Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
7 Mei 2020 / 14 Ramadhan 1441