Home Artikel PAS Pusat

Titah YDPA Iktiraf Kerajaan PN

435
SHARE

Kenyataan Media
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

Titah YDPA Iktiraf Kerajaan PN

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyambut baik Titah Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) sempena pembukaan penggal ketiga sidang parlimen ke-14.

Parlimen pada kali ini sungguh berbeza kerana diadakan selama satu hari sahaja bagi mendengar Titah Diraja dan tiada urusan majlis yang lain. Ini disebabkan negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebagai usaha mengekang penularan wabak Covid-19 sejak Februari lalu.

Dalam titah Seri Paduka Baginda YDPA, Baginda menegaskan bahawa pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri adalah menjadi salah satu tanggungjawab Baginda mengikut Perlembagaan Persekutuan selepas perletakan jawatan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

YDPA menyifatkan kerajaan yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai “Kerajaan Beta” yang sah menurut peruntukan demokrasi berparlimen yang diamalkan sekarang.

Tindakan Pakatan Harapan yang berterusan menghasut rakyat dan ingin mengusulkan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri sebenarnya adalah tindakan mempertikai YDPA meskipun ia adalah hak Ahli Parlimen.

Titah YDPA telah mengemukakan permasalahan yang dihadapi negara pasca COVID-19 antaranya; masalah ekonomi dan pengangguran, isu perpaduan kaum, geopolitik, pemerkasaan Industri 4.0 dan pembangunan bersama Sabah dan Sarawak.

Kecaknaan YDPA terhadap kestabilan politik negara dan keprihatinan kebajikan rakyat menjadi tanggunggjawab kepada semua pemimpin negara (ahli parlimen) untuk memperhalusi tindakan terbaik demi kesejahteraan negara.

PAS menyeru semua rakyat terus bersatu padu dan memberikan kerjasama sepenuhnya untuk memulihkan negara pasca kemelut politik dan pandemic Covid-19.

Situasi ekonomi dan sosial sangat meruncing dan semua pihak perlu berganding bahu membangunkan semula negara tercinta ini.

‘Islam Memimpin Perpaduan’

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
19 Mei 2020 | 26 Ramadan 1441