Home Melaka

Tips kepimpinan | Adakah stail autokratik itu diktator?

201
SHARE

SIRI 2

Oleh IBNU JANIE

KEPIMPINAN adalah satu proses untuk seseorang individu atau kumpulan untuk mempengaruhi pengikut-pengikutnya ke arah satu matlamat organisasi.

Dalam proses memimpin, seseorang yang bergelar pemimpin perlu membuat berbagai-bagai keputusan. Dalam membuat keputusan ada beberapa stail yang boleh digunakan.

Ada tiga stail yang paling popular yang boleh digunakan oleh pemimpin dalam membuat keputusan iaitu:

1) Stail Demokratik

Pemimpin yang membuat keputusan secara demokratik akan mendapatkan pandangan daripada orang bawahan (subordinat) namun keputusan akhir terletak di tangannya.

2) Stail Autokratik

Pemimpin yang menggunakan stail autokratik akan membuat keputusan sendiri tanpa mendapatkan pandangan daripada orang bawahannya. Stail ini sering dikaitkan dengan kediktatoran.

Adolf Hitler – gambar hiasan (kredit foto – Google)

3) Stail Laissez-faire

Pemimpin yang menggunakan stail laissez-faire pula akan memberi peluang dan kebebasan kepada orang bawahannya untuk membuat keputusan sendiri.

Antara ketiga-tiga stail ini yang manakah yang terbaik? Yang manakah yang terburuk?

Saya percaya ramai yang akan berkata stail terbaik adalah stail demokratik atau laissez-faire manakala stail yang paling buruk ialah autokratik. Malangnya ini adalah pandangan yang kurang tepat.

Sebenarnya ketiga-tiga stail tadi baik dan boleh digunakan namun ia bergantung kepada banyak sebab, antaranya kerana sifat atau budaya organisasi; situasi yang dihadapi organisasi; tahap kemahiran subordinat dan banyak lagi.

Sifat sesetengah organisasi memerlukan mereka menggunakan stail autokratik, contohnya pasukan tentera dan polis. Bayangkan ketika sedang berperang bagaimana agaknya mereka hendak bermesyuarat dalam saat genting itu untuk membuat keputusan jika tentera menggunakan stail demokratik?

Dalam sesetengah situasi kecemasan sesebuah organisasi yang demokratik juga perlu bertukar menjadi autokratik. Sebagai contoh, walau pun negara kita mengamalkan demokrasi berparlimen, namun kita ada amalan darurat yang akan menggantung parlimen ketika negara dalam kecemasan atau bencana.

Dari sudut kemahiran dan kebolehan subordinat, stail demokratik sesuai sekiranya subordinat atau orang bawahan kita mempunyai kemahiran dan pengetahuan dalam membuat keputusan.

Sekiranya orang bawahan kita tidak mempunyai kemahiran pula, stail autokratik lebih sesuai. Ini adalah kerana ia akan membuang masa untuk menunggu pendapat subordinat sedangkan mereka sebenarnya mengharapkan pemimpin membuat keputusan.

Stail laissez-faire pula sesuai jika subordinat kita memang mempunyai kepakaran yang tinggi dalam membuat keputusan. Jadi pemimpin atasan boleh memberi kebebasan kepada mereka untuk membuat keputusan.

Ada banyak lagi sebab mengapa ketiga-tiga stail asas membuat keputusan ini sesuai digunakan mengikut keperluan. Ini adalah sebahagian daripadanya.

Seseorang pemimpin yang cekap tahu bila mahu menggunakan stail demokratik, bila untuk menggunakan stail laissez-faire dan bila dia perlu menjadi diktator dalam membuat keputusan.

Dan pemimpin yang baik itu tidak semestinya seseorang yang sentiasa memberi kebebasan kepada orang bawahannya untuk membuat keputusan.

Yang penting semua stail yang digunakan oleh seseorang pemimpin itu adalah untuk kebaikan organisasinya dan bukan untuk kepentingan peribadi seseorang pemimpin itu semata-mata.

Penulis adalah Ketua Editor Berita PAS, Jabatan Penerangan PAS Pusat dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka.