Home Artikel PAS Melaka

Tinta Lajnah Ekonomi : Iqtisad Rakyat Siri-3 | Prosedur persijilan halal.

383
SHARE

DALAM siri yang lepas, penulis telah menerangkan tentang beberapa aspek asas yang berhubung kait dengan produk halal serta keperluan untuk mendapatkan status halal bagi produk-produk yang dikeluarkan oleh pengeluar atau pengilang tempatan negara kita khususnya yang terbabit dengan industri makanan, perubatan, perhotelan mahupun barangan keperluan harian. Dalam siri kali ini, kita akan menyentuh tentang sedikit sebanyak prosedur atau manual permohonan sijil halal di negara kita.

Secara amnya, sijil halal adalah merupakan pengesahan ataupun tanda bahawa sesuatu produk itu adalah diyakini penggunaannya atau diyakini kebersihan serta bahannya dan merupakan suatu pengiktirafan bahawa produk itu telah menepati hukum syarak yang telah ditetapkan. Ini adalah sebagai jaminan bahawa produk yang dihasilkan boleh dipasarkan samada dalam pasaran tempatan mahupun antarabangsa.

Di negara kita, JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri mengambil peranan yang sangat penting dalam mengeluarkan sijil halal ini. Jabatan Agama Islam negeri akan mengeluarkan sijil atau tanda halal kepada produk yang dihasilkan bagi pasaran setempat di negeri tersebut manakala JAKIM pula akan mengeluarkan sijil halal kepada produk-produk untuk pasaran nasional dan juga antarabangsa. Di samping itu juga JAKIM memberi pengesahan kepada produk-produk dari negara luar yang mendapat pengesahan halal dari Majlis Agama Islam di negara terbabit seperti dari Australia, New Zealand, Brunei serta Indonesia. Mengikut rekod, ada 47 negara yang mendapat pengiktirafan dari JAKIM

Pemegang sijil halal terikat dengan beberapa standard halal dan manual ‘Prosedur Pensijilan Halal Malaysia’. Walaupun tidak wajib, mana-mana syarikat yang memilih untuk mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia, maka mereka hendaklah memohon melalui prosedur yang ditetapkan sekaligus dengan sendirinya terikat dengan segala peraturan dan garis panduan yang ditetapkan berdasarkan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia.

Apa yang diperlukan untuk mendapatkan Sijil Pengesahan Halal?

Keperluan umum Pensijilan Halal – beberapa garis panduan :

1. Permohonan Sijil Pengesahan Halal bagi pasaran di peringkat nasional dan antarabangsa hendaklah memohon secara terus kepada Hab Halal, JAKIM melalui permohonan secara online.

2. Permohonan Sijil Pengesahan Halal bagi pasaran di peringkat pasaran tempatan, permohonan hendaklah dipohon terus kepada Jabatan / Majlis Agama Islam di negeri yang berkenaan.

3. Setiap pengeluar produk/premis makanan/ rumah sembelih hendaklah mengeluarkan produk halal sahaja.

4. Setiap syarikat yang memohon Sijil Pengesahan Halal hendaklah memastikan sumber bahan ramuan adalah halal dan memilih pembekal atau sub-kontraktor yang membekalkan bahan-bahan halal atau mempunyai Sijil Pengesahan Halal sahaja.

5. Setiap syarikat hendaklah memastikan prosedur halal dipatuhi dalam aspek seperti yang digariskan di dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia.

6. Syarikat yang disenaraikan dalam kategori multinasional dan industri kecil dan sederhana (IKS) adalah wajib mewujudkan Jawatankuasa Audit Halal Dalaman dan melantik seorang eksekutif Hal Ehwal Islam (Pengajian Islam) bagi mengendalikan dan memastikan pematuhan prosedur pensijlan halal,
disyaratkan mempunyai minima dua orang pekerja Muslim yang tetap dan berwarganegara Malaysia di bahagian dapur/ pengendalian/ pemerosesan makanan.

7. Semasa penyediaan, pengendalian, pemprosesan, pembungkusan atau pemindahan produk hendaklah dalam keadaan bersih dan tidak mengandungi bahan ramuan yang tidak halal mengikut hukum syarak, iaitu penggunaan peralatan atau kemudahan dalam premis hendaklah bersih dan bebas dari dicemari najis mengikut hukum syarak atau yang memudaratkan kesihatan.

8. Pengangkutan yang digunakan hendaklah untuk produk halal sahaja. Kebersihan peralatan, pengangkutan, kawasan pengeluaran dan persekitaran amat dititikberatkan dan syarikat hendaklah mengamalkan amalan pengilangan yang baik (Good Manufacturing Practices).

9. Alat penyembahan agama tidak dibenarkan sama sekali di dalam premis/ kawasan pemerosesan makanan.

Kod etika pekerja dan amalan kesihatan yang baik (Good Hygiene Practices).

Apakah kod etika pekerja dan amalan kesihatan yang baik?

– Semua pekerja perlu mendapatkan suntikan tertentu di mana-mana pusat kesihatan yang diakui oleh kerajaan sebelum dan selepas diambil bekerja.

– Semua pekerja hendaklah mengamalkan penjagaan kesihatan dan kebersihan diri yang baik, terutamanya bagi mereka yang bekerja sebagai operator pengeluaran.

– Pekerja yang kurang sihat atau mengalami kecederaan atau luka terbuka yang boleh menjejaskan kualiti sesuatu keluaran tidak dibenarkan bekerja sehingga pulih.

– Sentuhan secara terus di antara tangan pekerja dengan bahan mentah dan keluaran separuh siap hendaklah dihindarkan.

– Merokok, makan, minum atau menyimpan makanan, minuman, rokok, ubat dan lain-lain hendaklah dilakukan di kawasan yang dikhaskan dan tidak dibenarkan di kawasan pengeluaran atau mana-mana tempat yang boleh menjejaskan kualiti keluaran.

– Pekerja hendaklah sentiasa menjaga kebersihan diri dan memakai pakaian yang sesuai, penutup kepala dan mulut, sarung tangan dan kasut yang sesuai.

– Pekerja hendaklah sentiasa membasuh tangan secara sempurna dengan bahan pencuci yang sesuai sebelum memulakan aktiviti pengendalian makanan, selepas menggunakan tandas dan selepas mengendalikan bahan mentah atau bahan yang tercemar dan sebagainya.

– Pekerja tidak dibenarkan memakai apa-apa barang kemas atau barang perhiasan, jam dan sebagainya di kawasan pemprosesan makanan yang mungkin menyebabkan pencemaran (contamination) dalam proses pengendalian makanan tersebut.

– Pekerja hendaklah sentiasa bertugas dan berfungsi di tempat yang diarahkan seperti ”check point” kualiti halal dan pembelian bahan mentah yang halal.

– Pekerja hendaklah komited dan bertanggungjawab dengan polisi halal yang ditetapkan.

TANGGUNGJAWAB PEMEGANG SIJIL PENGESAHAN HALAL MALAYSIA

Sebarang perubahan kepada nama dan alamat syarikat, kilang atau premis, jenama produk, bahan ramuan pengeluar dan sebagainya hendaklah dimaklumkan kepada Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia atau Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri secara bertulis untuk tindakan selanjutnya.

Jika berlaku kehilangan ke atas sijil berkenaan pemilik hendaklah membuat laporan polis dan memberitahu secara bertulis dengan segera kepada Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia atau Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri secara bertulis untuk tindakan selanjutnya.

Jika berlaku kerosakan pada Sijil Pengesahan Halal Malaysia, pemilik hendaklah memulangkan kepada JAKIM/JAIN dan sijil baru akan dikeluarkan selepas bayaran dibuat.

Sijil tersebut hendaklah ditandatangani oleh pemegang sijil dan satu salinan yang telah ditandatangani hendaklah dikemukakan kepada Ketua Pengarah, JAKIM.

Mana-mana pemegang siji halal adalah bertanggungjawab untuk memastikan piawaian Pensijilan Halal Malaysia dipatuhi.

Setiap pemegang Sijil Pengesahan Halal dikehendaki mempunyai para pekerja yang terlatih, memahami Prosedur Pensijilan Halal Malaysia dan dikehendaki mengikuti latihan pensijilan halal serta perlu diperbaharui setiap dua tahun kecuali bagi rumah sembelihan iaitu satu tahun.

Pemegang Sijil Pengesahan Halal perlu mematuhi Prosedur Pensijilan Halal Malaysia dan undang-undang yang berkaitan termasuk memahami isu-isu halal terkini

Syarikat hendaklah melaksanakan sertu ke atas premis sekiranya :
i. Berlaku pencemaran najis mughallazah; atau
ii. Menerima arahan daripada JAKIM/ JAIN.

NOTA PENTING

Audit persijilan –

Sijil Pengesahan Halal Malaysia tidak hanya terhenti di peringkat penyerahan dan pengeluaran sijil halal tetapi meliputi aspek pengauditan berterusan. Audit pemantauan terhadap syarikat yang memegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia akan dilaksanakan sekurang-kurangnya setahun sekali.

Sijil halal boleh ditarik pada bila-bila masa –

Jakim mahupun MAIN tidak bertanggungjawab menentukan mana-mana syarikat ataupun makanan sebagai haram atau tidak halal kecuali bagi syarikat-syarikat yang telah memperolehi Sijil Pengesahan Halal Malaysia. Jakim bertanggungjawab sepenuhnya kepada syarikat-syarikat yang telah mendapat Sijil Pengesahan Halal Malaysia. Jika didapati mereka melanggar mana-mana peraturan termasuk tidak lagi halal dan tayyib, maka sijil mereka boleh digantung dan seterusnya ditarik pada bila-bila masa.

Mudah-mudahan dengan sedikit sebanyak perkongsian maklumat ini akan dapat memberikan sedikit input tambahan kepada kita semua dalam memastikan produk-produk yang kita guna dan ambil adalah bertepatan dengan syarat dan prosedur yang telah ditetapkan. Pastikan produk yang kita gunakan adalah halalan toyyiban

“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerusakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerusakan. (Al Qashash: 77).

Allahu’alam.

“ISLAM MEMIMPIN PERPADUAN”

#KitaJagaKita
#DemiIslam

HJ. RAFIE AHMAD
• Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu
• Ketua Lajnah Ekonomi Perhubungan PAS Melaka

Sumber ; JAKIM, http://www.halal.gov.my/