Home Artikel PAS Melaka

Tinta Lajnah Ekonomi : Iqtisad Rakyat |Mencari yang halal dan bersih itu Fardu Siri-2

180
SHARE

UNTUK Siri-2 Iqtisad Rakyat kali ini, penulis akan menyambung penulisan tentang industri halal di Malaysia. Tulisan kali ini akan menfokuskan kepada institusi berwajib yang diberikan peranan khusus untuk mengeluarkan sijil halal di Malaysia iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Garis panduan makanan halal di Malaysia

Di Malaysia pihak yang memainkan peranan terbesar dalam menentukan kehalalan sesuatu makanan, minuman dan barangan gunaan orang Islam adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pihak JAKIM ada menyediakan garis panduan berkaitan dengan pemakanan berdasarkan sumber Al-Quran, Hadis dan pandangan ulama terhadapnya. Matlamat garis panduan ini adalah untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada pengusaha, usahawan Muslim dan orang awam yang merangkumi penyediaan, pemprosesan, penyimpanan, pembungkusan, pengendalian dan pengangkutan bagi makanan, minuman dan barang gunaan Islam

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

JAKIM ialah sebuah institusi di bawah Jabatan Perdana Menteri dan ditubuhkan sebagai sebuah agensi utama pengurusan hal ehwal islam di peringkat persekutuan serta urus setia kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Di bawah ini adalah visi, misi dan objektif penubuhan JAKIM :

VISI
Berperanan sebagai sebuah agensi persekutuan yang membantu agensi agama Islam negeri dalam memperkasakan hal ehwal Islam.

MISI
Membangun ummah yang progresif dan berakhlak mulia melalui aktiviti dakwah, penyelidikan dan penyelarasan secara holistik

OBJEKTIF
• Melahirkan ummah yang berkualiti dari sudut penghayatan nilai-nilai Islam melalui aktiviti dakwah dan penyelidikan.
• Menjalankan penyelidikan dan menyediakan maklumat hal ehwal Islam dalam pelbagai bidang.
• Menyelaraskan aktiviti dakwah bersama Agensi Agama Islam Negeri, Persekutuan dan NGO’s.

Di dalam industri halal, salah satu peranan utama JAKIM ialah untuk mengeluarkan sijil halal kepada pemohon baru atau pemohon yang ingin memperbaharui lesen halal mereka. Sebagai tambahan, JAKIM telah ditugaskan untuk mengkaji dokumen yang dikemukakan oleh pemohon dan memeriksa produk dan premis pembuatan untuk memastikan kualiti halal sesuai dengan kehendak JAKIM. JAKIM juga sering mendidik masyarakat mengenai amalan halal dengan mengadakan seminar dan forum awam dari semasa ke semasa.

Persijilan halal

Di negara kita, JAKIM diberi kuasa untuk mengeluarkan sijil halal. JAKIM akan memastikan semua syarat yang ditetapkan di bawah standard halal MS 1500: 2004 harus dipenuhi sebelum produk halal diberikan sijil halal. Setelah sijil halal diberikan, pengeluar boleh menggunakan label halal pada produk mereka. Label halal yang dikeluarkan oleh JAKIM adalah tanda dagangan berdaftar di bawah Akta Tanda Dagangan 1975. Produk yang mempunyai sijil halal mesti mematuhi piawaian halal sepenuhnya.

JAKIM melakukan pemeriksaan kesesuaian halal melalui pemantauan berkala, baik melalui pemeriksaan mengejut, pemeriksaan biasa atau komunikasi lisan dengan syarikat yang terlibat. Selama tempoh pengesahan pasca pengeluaran sijil halal, sebarang perubahan yang didapati tanpa persetujuan JAKIM terlebih dahulu akan mengakibatkan sijil ditangguhkan atau ditarik balik.

Perubahan ini boleh diklasifikasikan sebagai kesalahan kecil, besar atau serius :

i. Kecil – melibatkan aspek kebersihan penyediaan dan kebersihan persekitaran atau premis.

ii. Besar – melibatkan pertukaran bahan, pengeluar dan pembekal, mesin dan penempatan semula kilang.

iii. Serius – melibatkan penggunaan bahan tidak halal dari haiwan seperti daging babi atau turunannya dan juga haiwan yang tidak disembelih secara halal. Ini akan menyebabkan perakuan itu dicabut dan syarikat itu akan didakwa di mahkamah

Tempoh sah laku sijil halal

Secara umumnya, sijil halal bukanlah syarat wajib bagi semua industri untuk berurusniaga di dalam negara kita mahupun di luar negara. Sebagai contoh peniaga kecil di kalangan orang Melayu yang berniaga makanan di gerai-gerai ataupun restoran, kebanyakan mereka berniaga tanpa ada sebarang sijil halal.

Namun sebagai orang Islam sudah tentulah kita akan mengambil produk yang kita yakini kebersihannya dan seterusnya mempunyai logo halal yang dikeluarkan oleh pihak berwajib. Di samping itu sudah semestinya kita akan memilih premis milik orang islam sebagai pilihan utama kita.

Dewasa ini seringkali kita mendengar rungutan atau aduan orang ramai tentang produk-produk yang telah mendapat sijil halal tetapi dalam masa yang sama diragui status halal mereka. Sayugia diingatkan pihak JAKIM amat kritikal dalam soal ini dan setiap aduan akan disiasat dengan segera bagi mendapatkan gambaran yang sebenar tentang produk itu. Sebagai contoh baru-baru ini sebuah restoran barat yang menyediakan makanan segera ‘fast food’ di negara kita telah disiasat berikutan aduan pengguna tentang sumber air dari bahan penapis air yang diragui. Ini bagi memastikan setiap industri mematuhi piawaian halal yang telah ditetapkan.

Sesuatu produk itu diberi sijil halal berdasarkan kepada beberapa kriteria :

1. Bahan mentah yang digunakan
2. Sumber bahan tersebut
3. Penyediaan produk
4. Kawasan persekitaran penyediaan produk

Kebiasaannya, tempoh sah laku sijil halal adalah selama dua tahun dan proses pembaharuan sijil bukanlah berlaku secara automatik. Sebelum pembaharuan diberikan, produk akan menjalani proses pemeriksaan menyeluruh, sama seperti yang dilakukan ketika permohonan pertama dibuat.

Sebagai rakyat Malaysia kita merasa sangat bersyukur kerana aspek produk atau makanan halal ini amat dititik beratkan oleh pihak kerajaan. Sebagai sebuah negara yang mempunyai majoriti umat islam melebihi 60 peratus, sudah tentulah soal keabsahan halal ini sangat kritikal dan dititik beratkan.

Insya-Allah dalam siri yang akan datang, penulis akan berkongsi sedikit sebanyak tentang prosedur persijilan halal di negara kita ini. Semoga kita semua akan terus diberikan kekuatan untuk memilih sumber yang terbaik buat kita, keluarga dan masyarakat kita.

Dari Abu ‘Abdillah An-Nu’man bin Basyir radhiallahu ‘anhuma berkata,
“Aku mendengar Rasulullah bersabda: ‘Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas, dan di antara keduanya ada perkara yang samar-samar, kebanyakan manusia tidak mengetahuinya, maka barangsiapa menjaga dirinya dari yang samar-samar itu, bererti ia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya, dan barangsiapa terjerumus dalam wilayah samar-samar maka ia telah terjerumus ke dalam wilayah yang haram, seperti penggembala yang menggembala di sekitar daerah terlarang maka hampir-hampir dia terjerumus ke dalamnya. Ingatlah setiap Raja memiliki larangan dan ingatlah bahwa larangan Allah apa-apa yang diharamkan-Nya. Ingatlah bahawa dalam jasad ada sekerat daging jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya dan jika ia rosak maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah bahawa segumpal daging itu adalah hati”. [Bukhari no. 52, Muslim no. 1599]

“ISLAM MEMIMPIN PERPADUAN”

#KitaJagaKita
#DemiIslam

HJ RAFIE HJ AHMAD
TYDP PAS Kawasan Tangga Batu
Ketua Lajnah Ekonomi PAS Melaka

(Penulis adalah lulusan Master in Business Administration dan pengkhususan Halal Industry)

Sumber ; JAKIM, http://www.halal.gov.my/


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)