Home Berita PAS Melaka

Tinta Ketua Penerangan Tangga Batu : Tangga Batu Sejahtera | Impak Intra Karnial

712
SHARE

MASALAH gejala sosial di dalam kalangan masyarakat pada hari ini telah memberi impak yang begitu besar dalam proses pembentukan diri individu, masyarakat dan negara secara sihat. Kelompok masyarakat yang terdedah dengan gejala sosial yang sangat membimbangkan pada hari ini yang juga merupakan aset utama dan sangat penting dalam pembangunan negara pada masa akan datang. Risiko kerosakan masyarakat berpanjangan pasti akan berlaku seandainya remaja dan masyarakat pada hari ini tidak tahu bagaimana untuk menangani permasalahan yang kian meruncing ini, menjadikan pembentukan jati diri dan kemuliaan akhlak rapuh dari mata masyarakat kita sendiri.

Semestinya akhlak merupakan peribadi dan cermin diri bagi seseorang individu. Sekiranya seseorang individu itu mempunyai akhlak yang buruk, maka peribadi seseorang individu itu juga akan menjadi buruk. Remaja yang mempunyai akhlak yang buruk boleh memberi kesan kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara, sekaligus memberikan impak intra karnial dalam proses pembentukan sebuah kehidupan yang sejahtera dalam masyarakat semakin parah.

Allah Azza Wa Jalla pernah berfirman menyatakan didalam Al Quran surah Al Imran Ayat 85

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الإِسْلاَمِ دِيناً فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

“Dan barang siapa yang mencari agama selain Islam maka tidak akan pernah diterima darinya dan di akhirat nanti dia akan termasuk orang-orang yang merugi.”

Allah ta’ala mewajibkan kepada seluruh umat manusia untuk beragama dengan mengikuti ajaran daripada agama ini. Allah berfirman kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam, Surah Al A’raaf ayat 158

قُلْ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنِّي رَسُولُ اللّهِ إِلَيْكُمْ جَمِيعاً الَّذِي لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ لا إِلَـهَ إِلاَّ هُوَ يُحْيِـي وَيُمِيتُ فَآمِنُواْ بِاللّهِ وَرَسُولِهِ النَّبِيِّ الأُمِّيِّ الَّذِي يُؤْمِنُ بِاللّهِ وَكَلِمَاتِهِ وَاتَّبِعُوهُ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

“Katakanlah: Wahai umat manusia, sesungguhnya aku ini adalah utusan Allah bagi kalian semua, Dialah Dzat yang memiliki kekuasaan langit dan bumi, tidak ada sesembahan yang haq selain Dia, Dia lah yang menghidupkan dan mematikan. Maka berimanlah kalian kepada Allah dan Rasul-Nya seorang Nabi yang ummi (buta huruf) yang telah beriman kepada Allah serta kalimat-kalimat-Nya, dan ikutilah dia supaya kalian mendapatkan hidayah.”

Kesan Ke Atas Individu

Seseorang insan yang dilahirkan di dunia yang fana ini ibarat sesuci kain putih yang tiada kotorannya, ianya terpulang pada seseorang individu itu bagaimana dia hendak mencorakkan kehidupannya. Individu yang mencorakkan dirinya dengan akhlak yang baik akan dipandang mulia dan tinggi berbanding individu yang mencorakkan dirinya dengan perkara-perkara negatif akan dipandang serong dan dicemuh oleh masyarakat sekeliling.

Bagi seseorang yang bergelar muslim terutamanya remaja, akhlak yang baik seharusnya dihiasi dengan perkara-perkara keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Sebaliknya, kebanyakan remaja muslim pada hari ini tidak mengikut ajaran Islam yang sebenarnya, sebaliknya memalukan agama, bangsa dan negara.

Tidak dapat dinafikan juga kesan gejala sosial ini akan memberikan kesan yang mendalam pada diri seseorang remaja itu.

Kesan Ke Atas Keluarga

Keluarga memainkan peranan yang sangat penting kerana dari institusi kekeluargaanlah kebahagian dan keharmonian sesuatu masyarakat itu terbentuk. Keruntuhan sesebuah institusi kekeluargaan akan menyebabkan hilangnya kebahagian dan keharmonian yang dinikmati oleh sesuatu masyarakat. Akhlak seseorang individu remaja yang baik dan mulia datangnya daripada sesebuah institusi kekeluargaan yang harmoni dan bahagia. Oleh sebab itu, keruntuhan akhlak dalam institusi kekeluargaan akan memberikan kesan yang besar ke atas kebahagian dan keharmonian sesuatu institusi kekeluargaan itu. Akibat daripada wujudnya ketidak harmonian dalam kekeluargaan, sesebuah kekeluargaan pastinya akan berlakunya penceraian.

Ini akan menjadikan masa depan anak-anak akan terbiar dan tidak terpelihara, seterusnya hilang tempat bergantung dan bermanja. Kesannya berlaku masalah-masalah sosial yang lain seperti budaya lepak, ketagihan dadah, pelacuran, perjudian, hubungan sesama jenis dan masalah-masalah yang lain.

Kesan Ke Atas Masyarakat

Jatuh bangunnya sesuatu negara, agama dan bangsa pada masa kini ialah dengan melihat akhlak dan moral sesuatu masyarakat. Tidak dinafikan akhlak remaja pada hari ini sangat membimbangkan masyarakat.

Sekiranya hal ini tidak dibendung oleh pihak–pihak yang tertentu, terutamanya oleh pihak kerajaan, maka tidak hairanlah suatu hari nanti masyarakat kita akan hancur dan keruntuhan akhlak remaja–remaja Melayu terutamanya akan rosak dan binasa.

Namun begitu terdapat kesan yang paling ketara yang akan dilihat kiranya akhlak remaja pada hari ini tidak dibendung dengan segera. Masyarakat di negara ini akan menjadi porak-peranda, berpecah-belah dan tidak bersatu-padu. Akibatnya perasaan buruk dan prasangka akan wujud dalam masyarakat. Sifat saling curiga-mencurigai akan bertahkta di hati masyarakat.

Hal ini memberi kesan apabila berlaku pergaduhan dalam masyarakat. Isu-isu perkauman akan wujud seandainya pergaduhan ini melibatkan antara dua kaum. Sekaligus kadar jenayah dalam kalangan masyarakat juga akan meningkat yang mana hal ini disebabkan oleh kadar keruntuhan akhlak di kalangan remaja semakin meningkat.

In sha Allah selepas ini pada siri yang akan datang saya akan mengupas Impak Intra Karnial kepada pembangunan dan usaha pembentukan Negara Bangsa selaras dengan kehendak syariah dan as sunnah.

Wallahuallam.

“ISLAM MEMIMPIN PERPADUAN”

#KitaJagaKita

Mohammed Saufee Othman
KETUA PENERANGAN
PAS Kawasan Tangga Batu

26 Syawwal 1441H / 18 Jun 2020


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)