Home Artikel Dewan Ulamak PAS Pusat

Tingkatkan Marhalah Kefahaman Dan Siap Siaga

91
SHARE

GOMBAK: Ulamak dan ‘Alimat perlu bersedia melengkapkan diri dengan kematangan tinggi dan ciri-ciri pemimpin kepada gerakan Islam kerana merekalah yang akan mencorakkan hala tuju kepada harakah Islam ini.

Ketua Ulamak PAS Pusat, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, apatah lagi pada masa sekarang umat amat tercari-cari panduan untuk meneruskan perjuangan dalam berdepan dengan cabaran mutakhir ini.

Beliau berucap merasmikan Ijtimak ‘Alimat Malaysia 2019 dengan menyeru pemantapan tarbiyah diri dan berusaha memastikan syariat Allah terlaksana di Malaysia pada majlis di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), di sini kelmarin dahulu.

Mengimbas sejarah susur galur perjuangan PAS sejak ditubuhkan tahun 1951, beliau menjelaskan bahawa selama ini PAS telah meletakkan matlamat untuk menjadi parti pembangkang yang kuat hingga menjelang PRU14.

“Namun melihat kepada situasi yang terkini selepas PRU14, PAS telah meletakkan sasaran yang berbeza daripada sebelumnya iaitu PAS sedang bersiap sedia memposisikan parti untuk menjadi pemerintah dalam PRU akan datang.

“Kertas kerja Tahaluf Siyasi yang digubal oleh Dewan Ulamak telah dibahaskan oleh Majlis Syura Ulamak dengan cermat dan teliti sehingga beberapa siri dan akhirnya membuka ruang untuk PAS menjalinkan kerjasama dengan Umno bagi mencapai kemenangan seterusnya menjadi pemerintah.

“Maka untuk menghadapi cabaran sebagai pemerintah kelak, semua ahli PAS perlu jelas matlamat perjuangan kita yang sebenar dengan cara memahami strategi dan perjalanan PAS sebagai sebuah parti dakwah yang menyampaikan kebaikan serta keadilan syariat Islam,” tegas beliau.

Dr Nik Zawawi menjelaskan, tahap mencipta dan mengisi kemenangan kelak memerlukan sentuhan dan juga dukungan para ulamak kerana matlamat PAS bukan parti yang membilang kerusi dan negeri ditandingi serta menang.

Sebaliknya jelas beliau, PAS mahu dakwah sampai kepada rakyat golongan sasaran dan juga kepada Umno yang dijalin kerjasama melalui persefahaman dalam perkara politik hingga ketika ini Umno mengalu-alukan pengisian ilmu daripada ulamak PAS.

Ruang dan peluang dakwah sebegini kata Ahli Parlimen Pasir Puteh itu, perlu direbut oleh para ulamak dan ‘alimat memandangkan sebelum kerjasama, PAS kurang berjaya menarik orang-orang Umno yang menjangkau 3 juta ke program PAS.

Beliau turut mengingatkan ahli-ahli PAS bersiapsiaga dengan kematangan, supaya PAS yang akan memimpin masyarakat dan kemenangan, seterusnya dapat mengelakkan ahli daripada hanyut larut dengan pangkat serta kedudukan.

“Kita perlu melihat kepada sirah Baginda Rasullah S.A.W yang membuat perancangan berbeza kepada tiga zaman yang berbeza iaitu zaman Makkah 13 tahun, zaman Madinah 8 tahun dan zaman Fathu Makkah dua tahun.

“Apabila Islam bergerak ke Madinah, uslub dakwah telah berbeza dengan uslub pada zaman Makkah apabila peperangan dan meja rundingan juga turut menjadi uslub dakwah pada tahap wujudnya Kerajaan Islam di Madinah.

“Beginilah saat yang akan kita hadapi apabila keputusan-keputusan baru yang akan dibuat oleh saf kepimpinan PAS sebagai satu strategi dakwah dan ini memerlukan semua ahli PAS bersedia menerima dan melaksanakan keputusan dengan penuh kematangan,” terang beliau.

Dr Nik Zawawi turut mengingatkan, semasa fasa kemenangan di Madinah, Allah telah menguji para Sahabat R.A yang berjuang dengan ketakutan dan keseronokan dunia menyebabkan orang yang terpedaya berpaling menjadi golongan Munafiqun.

Seterusnya pula ketika Fathu Makkah, Rasulullah telah memilih Abu Sufyan R.A untuk mengetuai umat Islam di sana, sedangkan ketika itu beliau belum memeluk Islam dan masih terdapat ramai lagi Sahabat-sahabat termasuk sepuluh Sahabat dijamin syurga.

Kebijaksanaan dakwah Rasulullah terhadap orang pernah memerangi Baginda kata beliau, antaranya dalam peperangan Badar, Uhud dan Ahzab akhirnya telah menyebabkan lembutnya hati Abu Sufyan yang melafazkan syahadah di hadapan Baginda Rasullah S.A.W.

Jelasnya pada awal pemilihan Rasulullah S.A.W terhadap Abu Sufyan, Baginda telah mendapat tentangan Umar Al-Khattab R.A, namun setelah ditegur, Umar serta Sahabat-sahabat lain turut diam, sami’na wa ato’na terhadap Nabi.

Justeru, beliau meminta semua ahli PAS bersedia apabila Allah mengangkat marhalah perjuangan dengan memberi kemenangan kepada umat Islam di Malaysia, maka hendaklah mencapai tahap dengar dan taat kepada pimpinan. – HARAKAHDAILY 24/12/2019

Tingkatkan marhalah kefahaman dan siap siaga