Oleh : HANIFF ABD RAHIM
AYER KEROH : Berikutan tular satu video dalam Persidangan Ketiga Undangan Negeri Melaka kali Keempat Belas yang menjadi isu panas di antara Timbalan Speaker, Dr Wong Fort Pin merangkap ADUN Bemban yang tidak membenarkan ayat suci Al Quran dibaca diakhir perbahasan ADUN Sungai Udang, Idris Haron.
NGO Gerakan Pembela Ummah Melaka (UMMAH Melaka), dipengerusikan oleh Hishammudin Abu Bakar bersama NGO-NGO Islam di Melaka mengadakan serahan nota bantahan di Seri Negeri, Melaka terhadap Timbalan Speaker dan meminta memohon maaf secara terbuka khususnya kepada umat Islam di Negeri Melaka, hari ini.
Menurut Hishammudin, tindakan Timbalan Speaker tersebut merupakan sikap yang biadap dan mencalarkan hati umat Islam.
“Kami minta, agar beliau memohon secara terbuka dalam sidang media dalam tempoh 24 jam bermula hari ini. Dan sekiranya, Timbalan Speaker tidak berbuat demikian, kami takut akan rakyat akan marah dan mengadakan demonstrasi besar-besaran,” katanya.
Terdahulu, Ketua Pemuda PAS Negeri Melaka Ustaz Ahmad Bilal Rahudin, menyatakan kekesalan terhadap Timbalan Speaker tersebut yang bukan sahaja membawa suasana yang tidak baik di dalam Dewan tetapi, tidak mempunyai sikap toleransi dalam mengendalikan persidangan dewan ADUN.
Nota bantahan melalui UMMAH Melaka tersebut, diberikan kepada wakil parti Politik PAS dan UMNO untuk diserahkan kepada Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri sebagai mewakili suara rakyat khususnya umat Islam di Melaka.
Turut hadir dalam memberikan sokongan tersebut, ADUN Sungai Udang, Idris Haron, ADUN Serkam, Zaidi Attan, ADUN Ayer Molek, Rahmad Mariman, Ketua Pemuda UMNO Jasin, Dr Akmal Saleh, Naib Ketua Pemuda PAS Melaka, Hafiz Yahya dan Ketua Pemuda UMNO Hang Tuah Jaya, Rohazam Bakar.