Home Berita PAS Melaka

Tiga rumah sederet ranap dihempap dahan pokok dekat Taman Kuala Permai

133
SHARE

 

Oleh ZUL SHAM MAHAT

MASJID TANAH, 10 Okt: Hujan lebat telah menyebabkan dahan pokok besar patah lalu jatuh menimpa tiga buah rumah sederet di Taman Kuala Permai Tanjung Dahan, Kuala Sungai Baru, di sini, pagi tadi.

Ketiga-tiga buah rumah tersebut ranap akibat kejadian itu.

Salah sebuah rumah tersebut tidak dihuni dan kosong manakala sebuah lagi adalah homestay, namun ketika kejadian tiada kemalangan jiwa berlaku.

Menurut salah seorang penghuni yang merupakan mangsa kejadian, Fatimah, 60, menzahirkan rasa syukur dan lega kerana tiada kemalangan jiwa berlaku.

“Masa dahan pokok tu hempap rumah, kebetulan saya ada di dapur dan dahan hempap bahagian depan rumah. Mujur tak kena saya” ujar beliau.

Sementara itu, seorang penduduk di taman perumahan itu, Ibrahim Yusuf, 56, memberitahu aduan telah dibuat berkaitan pokok tersebut sebelum ini namun tiada sebarang tindakan dari pihak Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

“Dua tahun lepas kami Persatuan Penduduk sudah buat aduan bimbang sebab pokok ni semakin membesar dan boleh berlaku kejadian yang tidak diingini. Lagi pun pokok ini majlis (MPAG) yang tanam” ujar beliau kecewa.

Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Datuk Wira Ir Ismail Othman sudah membuat tinjauan dan pihak Pejabat Ahli Parlimen Masjid Tanah turut telah dimaklumkan tentang kejadian malang ini.