Home Berita PAS Melaka

Tidak boleh solat jenazah berjemaah di rumah sepanjang PKP – JAIM

394
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 22 Mei : Berkuatkuasa hari ini solat jenazah berjemaah tidak boleh dilakukan di rumah kediaman dan hanya boleh dilakukan di surau, masjid atau premis yang dibenarkan Pusat Kesihatan Daerah (PKD).

Solat ke atas jenazah boleh dilaksanakan dengan kehadiran maksimum 20 orang jemaah bagi masjid dan maksimum 10 orang jemaah bagi surau.

Demikian dinyatakan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Dato’ Che Sukri Che Mat dalam satu surat pekeliling bertarikh 21 Mei 2021 berkaitan garis panduan terkini Penguburan Jenazah Dan Tanah Perkuburan Orang Islam Sepanjang Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Negeri Melaka.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Dato’ Che Sukri Che Mat

Menurut beliau pengurusan jenazah orang Islam yang melibatkan proses mandi dan kafan boleh dibuat di masjid; surau; rumah kediaman yang mendapat kebenaran PKD; atau premis bawah kawalan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pengurusan mandi dan kafan di rumah kediaman hanya boleh dilaksanakan setelah mendapat kebenaran daripada Pejabat Kesihatan Daerah.

“Urusan mandi dan kafan diuruskan oleh tidak lebih daripada enam orang sahaja yang terdiri daripada pegawai masjid/surau dan waris,” katanya di dalam surat pekeliling itu.

Tambah beliau lagi, kehadiran ahli keluarga di rumah kediaman arwah dibenarkan dengan tidak melebihi 20 orang pada satu-satu masa tertakluk kepada keluasan rumah dan memastikan tidak berlaku 3S (Sesak/Sempit/ Sembang dekat).

“Semua ahli keluarga yang hadir wajib memakai pelitup muka, membersihkan tangan dengan cecair pembasmi kuman, menjaga penjarakan fizikal lebih daripada satu meter dan tidak digalakkan bersalaman dan bersentuhan.

“Ahli keluarga yang mempunyai gejala seperti demam, batuk, sesak nafas, sakit tekak dan selsema dilarang sama sekali hadir ke rumah berkenaan.

“Ahli keluarga yang berumur 60 tahun ke atas dan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun tidak digalakkan hadir,” ujar beliau lagi.

Garis panduan ini adalah bagi kematian yang bukan disebabkan oleh Covid-19 sementara berikut adalah garis panduan bagi kes kematian disebabkan Covid-19 di dalam pekeliling yang sama.

Menurut Pengarah JAIM itu lagi, pengurusan jenazah di tanah perkuburan bagi kematian yang disebabkan oleh Covid-19 akan diselia oleh petugas PKD.

“Sekiranya jenazah mempunyai waris, dan permohonan dari keluarga untuk disemadikan di tanah perkuburan kariah, keluarga hendaklah menguruskan pengurusan penggalian kubur dengan kariah masing-masing.

Gambar hiasan (Kredit foto : Google)

“Sekiranya jenazah tiada waris, atau pengebumian dilakukan di Tanah Perkuburan Bidadari, Majlis Agama Islam Melaka, petugas tanah perkuburan MAIM hendaklah dimaklumkan untuk persiapan tanah perkuburan,” ujar beliau.

Tambah Che Sukri lagi, waris dan orang awam tidak dibenarkan masuk ke kawasan perkuburan kecuali yang dibenarkan oleh PKD untuk menurunkan jenazah.

“Pasukan Pengurusan Jenazah Jabatan Agama Islam Melaka boleh digunakan untuk tujuan pengurusan jenazah di tanah perkuburan. Pengendali jenazah di tanah perkuburan hendaklah tidak lebih daripada enam orang tidak termasuk petugas daripada PKD.

“Pengendali jenazah hendaklah memakai Pakaian Perlindungan Diri (Personal Protection Equipment- PPE) Penuh semasa pengurusan jenazah di tanah perkuburan,” katanya lagi.

Menurut beliau, setelah selesai pengebumian, pengendali jenazah hendaklah melalui proses nyahkuman dan hendakiah dipantau oleh Inspektor Kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah.

“Garis panduan ini hendaklah dibaca bersama dengan Garis Panduan Pengimarahan Masjid dan Surau Sepanjang Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Negeri Melaka.

“SOP berkaitan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga adalah terpakai,” katanya lagi.

Surat pekeliling ini dimuat naik di laman Facebook JAIM petang semalam dan arahan ini berkuatkuasa bermula 22 Mei 2021 sehingga 7 Jun 2021 atau apa-apa tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.




AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

 

.         SAMBAL IBU SARI        .