Home Kenyataan Media PAS Sarawak

Teruskan Pertahan Dan Pertingkat Bidangkuasa Mahkamah Syariah!

161 views
SHARE

1. Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Negeri Sarawak memerhatikan secara rapat berkenaan kes penukaran status agama daripada Islam kepada Kristian oleh empat orang individu. Mahkamah Persekutuan akan membuat keputusan hari ini permohonan semakan bidang kuasa oleh Mahkamah Syariah Sarawak membabitkan pengesahan keluar daripada agama Islam yang dipohon empat individu tersebut.

2. PAS Sarawak menyeru seluruh umat Islam di Malaysia dan khususnya di Sarawak untuk berdiri teguh bersama institusi Islam di negeri ini dalam perbicaraan kes ini.

3. Kes ini sekali lagi jelas menunjukkan pertembungan antara bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil. Usaha PAS di peringkat nasional untuk memperkasakan peranan dan meningkatkan bidangkuasa Mahkamah Syariah dan Undang-undang Syariah melalui pindaan Akta 355 bertepatan pada masanya dan perlu disokong serta didokong oleh pimpinan politik Islam Melayu di negeri ini.

4. Usaha untuk memartabatkan institusi Mahkamah Syariah perlu dipertingkatkan selaras kesucian dan ketinggian agama Islam itu sendiri. Ini juga selaras dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan yang istimewa berbanding agama-agama lain di negara ini sebagaimana termaktub di dalam kepada Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

5. Kerjasama erat antara semua Agensi-agensi kerajaan, NGO-NGO, Parti-Parti politik dan orang perseorangan amatlah mustahak dalam mempertahankan akidah umat Islam di negeri ini. Suka juga ditekankan betapa pentingnya seluruh warga Malaysia yang terdiri dari masyarakat majmuk pelbagai kaum dan agama ini menghayati sejarah negara agar tidak mencabar isu sensitif melibatkan umat Islam.

6. Dalam masa yang sama, PAS Sarawak juga menyeru agar usaha dakwah dan penerangan berkenaan kefahaman dan keindahan Islam dapat terus digemblengkan bersama. Kebajikan Muallaf dan Saudara Kita turut perlu sama-sama dipertingkatkan dan diambil perhatian serius oleh semua pihak.

7. PAS Sarawak sekali lagi menyeru seluruh umat Islam negeri ini untuk bersatu dalam hal berkaitan akidah tanpa mengorbankan perpaduan kaum yang telah terjalin sekian lama. Marilah terus bersama membina Malaysia Sejahtera dan Sarawak Sejahtera dengan Islam yang merupakan rahmat untuk semua.

Sekian, terima kasih.

Dikeluarkan Oleh:
Haji Jofri Jaraiee
Pesuruhjaya PAS Sarawak
Bertarikh: 27 Februari 2018