Home Ketua Penerangan PAS Pusat

Jangan layan provokasi dan propaganda

3,258 views
SHARE

Kenyataan Media Penerangan. 190/61
25 Sya’aban 1439 / 11 Mei 2018

JANGAN LAYAN PROVOKASI DAN PROPAGANDA

Oleh : Nasrudin bin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
https://m.facebook.com/kpenerangan

1. Meskipun PRU 14 telah berakhir. Fitnah dan provokasi terhadap PAS kelihatan tidak pernah berakhir.

2. Justeru itu, ahli PAS dan para penyokongnya diharapkan tenang dan tidak melatah bila disakat oleh musuh, terutama berkait dengan perkembangan mutaakhir berhubung dengan situasi di Perak dan Kedah.

3. PAS Pusat akan mengadakan mesyuarat khas pada petang ini bagi membincangkan situasi tersebut. Segala pandangan, pertimbangan dan kemungkinan akan dinilai oleh pimpinan PAS dengan teliti dan cermat sebelum membuat keputusan.

4. Prinsip Amal Islami yang dipegang oleh PAS dalam proses membuat keputusan adalah secara syura dan kemudiannya dimuktamadkan oleh Presiden sebagai Amir jamaah.

5. Paksi tindakan PAS ialah meletakkan Islam mengatasi segala-galanya. Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang digagaskan oleh PAS telah menegaskan bahawa amalan politik PAS ialah Politik berteraskan Prinsip, bukan lagi politik lalang yang rebah ke kiri bila ditiup ke kiri dan liuk ke kanan bila dihembus ke kanan.

6. PAS mengurus pertimbangan dalam menilai situasi dan menangani isu semasa adalah berteraskan amalan politik realiti yang menjulang kebenaran Islam. Bukan lagi politik persepsi dan emosi.

7. Insyaallah, YB Dato’ Seri Tuan Guru Presiden PAS atau Timbalannya akan membuat kenyataan rasmi parti setelah bermesyuarat dengan seluruh saf kepimpinan PAS kelak.

8. Insyaallah. Islam menjadi keutamaan dalam apa jua pertimbangan dan keputusan. Justeru inilah subjek perjuangan PAS selama ini. Tenang dan bersabar, usah sahut propaganda pihak tertentu yang terus mensasarkan PAS supaya kita bercakar dan bercakap tanpa asas dan mengetahui betul duduk isu yang sebenar.

Sejahtera Bersama Islam

Sekian.