Home Berita PAS Pahang

Terputus bekalan air : ADN PAS Pahang bantu penduduk Keratong dan Ibam

178
SHARE

Oleh: HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 13 Julai :: Ekoran masalah terputus bekalan air sejak seminggu lalu di Keratong dan Ibam, semua 8 Ahli Dewan Negeri (ADN) PAS Pahang telah bersepakat membantu penduduk di sekitar kawasan tersebut dengan membekalkan 27,000 botol air minuman bersih petang tadi.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Yang Berhormat Andansura Rabu yang mewakili ADN PAS Pahang telah menyampaikan sumbangan tersebut dan menyaksikan lori yang membawa bekalan itu bergerak dari Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADN Beserah di Balok.

Andansura turut menjelaskan telah mendapat kerjasama dari beberapa NGO antaranya Beserah Care dan Al-Itqan Care serta sumbangan orang ramai.

Bekalan air terputus di kawasan tersebut berpunca daripada pencemaran yang berlaku di Sungai Pukin, Keratong.

“Atas rasa ihsan kerana menerima rayuan dari saudara-saudara kita di Keratong dan Ibam, maka kami telah gerakkan satu usaha bersama untuk membantu membekalkan air minuman kepada mereka.

“Sebanyak dua puluh tujuh ribu botol air minuman dihantar pada hari ini dan kita akan hantar lagi dalam masa terdekat.” katanya yang juga ADN Beserah.

Beliau sedang berusaha mencari penyumbang dan juga mengumpul dana yang boleh menampung penghantaran air dengan kuantiti yang lebih besar.

Menurutnya bantuan ini diperlukan lagi kerana dijangkakan loji rawatan air akan mengambil masa dalam tempoh seminggu lagi, mulai dari sekarang.

Andansura merayu orang ramai agar dapat sama-sama membantu keperluan yang terdesak ini, terutama bagi mereka yang prihatin dengan nasib penduduk yang terkesan dan terjejas dengan pencemaran sungai tersebut.