Home Berita PAS Terengganu

Terengganu serah insentif RM47,000 buat atlet negara

43
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu menyerahkan cek berjumlah RM47,000 Insentif Skim Wakil Negara (SWARA) kepada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), hari ini.

Jumlah tersebut merangkumi 47 atlet Terengganu yang terpilih mewakili pasukan kebangsaan dalam temasya Sukan Asia Tenggara (SEA) yang sedang berlangsung di Hanoi, Vietnam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, insentif berkenaan sememangnya diadakan oleh MSNT bagi meningkatkan motivasi atlet untuk bersaing di peringkat tertinggi.

“Bagi SWARA, setiap atlet diberikan sebanyak RM1,000 dan insentif ini akan dibawa rombongan ke Vietnam pada malam esok.

“Selain itu, ntuk atlet kelahiran Terengganu yang berjaya merangkul pingat dalam Sukan SEA, kita juga ada menyediakan insentif khas menerusi Insentif Skim Hadiah Kemenangan (SHAKE).

“Dalam skim ini, sebanyak RM4,000 akan diberikan kepada pemenang pingat Emas dalam acara individu, manakala RM3,000 bagi pingat Perak dan RM2,000 bagi pingat Gangsa,” katanya.

Tambahnya, bagi acara berpasukan, ganjaran sebanyak RM2,500 akan diberikan kepada pemenang pingat Emas, RM2,000 bag pingat Perak dan pemenang pingat Gangsa akan menerima RM1,500.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Sambutan Hari Raya dan Temu Mesra Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan NGO bersama Warga Sukan Terengganu, di pejabat MSNT, hari ini.

Wan Sukairi turut mengharapkan akan ada pertambahan pingat yang dihasilkan atlet negeri dalam temasya Sukan SEA.

Setakat hari ini, seramai lapan atlet kelahiran Terengganu berjaya merangkul pingat kejuaraan dalam temasya tersebut.

Jaguh berbasikal bukit, Ahmad Syazrin Awang Ilah berjaya merangkul pingat Emas dalam acara MTB rentas desa Olimpik campuran.

Manakala Azreen Nabila Alias memenangi pingat Perak dalam acara 4×100m Wanita, Muhammad Zulfiqar Ismail (Perak) dalam acara 4×100m Lelaki, Siti Rahmah Mohamed Nasir (Perak) dalam Pencak Silat dan Sharifah Aqilah Farhana (Perak) dalam Petanque.

Sementara itu, Muhammad Shahrul Aimy Kamarul Hisam (Gimnastik), Yousuff Daniel Fauzi Cruz (Kurash) dan Ahmad Atif Irsyad Aad Zahidi (Pencak Silat) masing-masing berjaya merangkul pingat Gangsa.