Home Berita PAS Perak

Rumah terbuka Aidilfitri PAS Lumut meriah

143
SHARE

Oleh: HAFIZ GREEN MART

LUMUT, 18 Mei : Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini telah diserikan dengan penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kawasan Lumut yang berlangsung meriah pagi semalam.

Hampir 2,000 hadirin telah membanjiri Dewan Komuniti Batu 10, Lekir dekat sini bermula jam 10.00 pagi sehingga zuhur bersama ahli keluarga dan jiran tetangga, menurut Pengarah Majlis, Ahmad Kamarulnizam bin Majid.

Dalam ucapan mewakili PAS Lumut, Rosli Abd Rahman melafazkan rasa syukur kerana Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri dapat dianjurkan semula berikutan kelonggaran yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini setelah hampir dua tahun ‘terkurung’.

“Alhamdulillah, dengan penganjuran Rumah Terbuka dapatlah kita semua bersua muka dan mengeratkan silaturrahim sesama kita setelah dua tahun negara dilanda pandemik, beraya bersama keluarga terdekat. Namun begitu dalam kegembiraan meraikan Hari Raya, jangan mengabaikan soal kesihatan khususnya di tempat awam”, ujarnya lagi.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Perak turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak urusetia Lajnah Penerangan, seluruh pimpinan PAS di pelbagai peringkat, dermawan dan sukarelawan yang telah bertungkus-lumus menjayakan program kali ini serta Alumni At-Taalim.

Pelbagai juadah disediakan oleh Dewan Muslimat dan PAS Cawangan-cawangan seperti kari daging bersama nasi minyak, lemang, rendang, nasi himpit, kuewtiau dan mee goreng panas, bihun sup, kuih-muih serta minuman ais dan panas.

Menu istimewa dari seberang laut turut disajikan kepada pengunjung iaitu laksa mee oleh PAS Cawangan Pangkor.

Kanak-kanak pula teruja apabila menerima sampul duit raya yang disampaikan oleh pimpinan utama PAS Lumut, YDP, Naib-naib YDP, Setiausaha dan Ketua-ketua Dewan PAS Lumut.

Turut hadir Bendahari PAS Perak, Ismail Ariffin, Setiausaha MIC Lumut, Perumalsamy a/l P. Muniandy, Ketua Serikandi BERSATU, Haslinda Zakaria dan Pengerusi GERAKAN bersama Ketua Pemuda, Dato’ Beh Chiew Ning dan Ir Ong.

Turut serta, Setiausaha Majlis Perbandaran Manjung, Mohamad Helmi bin Ariffin, Penghulu Mukim Sitiawan, Mukhtar bin Yaacob, Penghulu Mukim Lumut, Sabdin bin Idris, Penghulu Mukim Lekir, Tuan Syed Abd Hanif bin Sayed Abdul Hamid dan agensi kerajaan, Balai Bomba dan Penyelamat Manjung.