Home Berita PAS Terengganu

Terengganu adakan PRN pada Jun

501
SHARE

KUALA TERENGGANU – Negeri Terengganu akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Jun 2023 sebelum genap lima tahun.

Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hari berkemungkinan adalah yang terakhir sebelum menghadapi PRN tersebut.

“Kita masih mempunyai masa dan peranan samada dari pihak kerajaan mahu pun pembangkang untuk terus membangunkan negeri kita sebelum tiba waktu tersebut.

“Apa pun persepsi dan tafsiran yang akan dibuat mengenai bajet 2023 ini, saya yakin kerajaan yang ada akan membentangkan bajet yang terbaik untuk rakyat berdasarkan kemampuan kewangan yang ada,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keliman DUN Keempat Belas (Bajet), di Wisma Darul Iman, hari ini.

Dalam pada itu katanya, keputusan rakyat untuk Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 sudah diperoleh dan seharusnya dihormati.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Perikatan Nasional khususnya Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang telah berjaya memenangi dan menyapu bersih kelapan-lapan kerusi Parlimen di negeri kita.

“Mewakili DUN Terengganu saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang telah dilantik oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10,” ujarnya.

Tambahnya berdasarkan PRU terbabit rakyat kini sudah menjadi saksi dan melihat siapa sebenarnya ahli politik yang tulen, berjiwa besar dan bermaruah.

“Apa yang penting selepas ini ialah kita harus kembali untuk terus membina perpaduan ummah kerana ia menjadi tunjang kepada kemakmuran negara dan dituntut dalam ajaran Islam kita,” katanya.